Panasnya Hari Ini

Bekas ADUN Ayer Hangat Umum Keluar UMNO

LANGKAWI: Bekas EXCO Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid mengumumkan keluar UMNO bersama tujuh ketua cawangan parti hari ini.

Mohd Rawi menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat selama dua penggal.

Mohd Rawi berkata, beliau sudah memikirkan secara mendalam demi kepentingan Melayu dan Islam kerana keputusan terbabit sukar dibuat selepas berjuang dengan UMNO sejak 1990.

Beliau berkata, pihaknya mahu menjadi kumpulan pertama yang mengumumkan keluar UMNO Langkawi bagi memastikan ia menjadi pencetus keberanian kepada ahli yang lain.

“Saya tahu ramai yang akan sokong, begitu juga yang akan marah tetapi perjuangan Melayu dan Islam perlu diteruskan. Jika penggerak perjuangan lemah maka sudah tiba masanya, kita berpindah.

“Ia umpama saya yang diamanahkan menjaga bungkusan yang menumpang sebuah kapal berusia 60 tahun di mana dalam kapal terbabit, terlalu banyak perkara yang menyukarkan perjalanan kapal yang turut usang kerana sudah reput. Di sini, saya perlu memikirkan keutamaan bungkusan itu.

“Apabila sebuah kapal baharu menawarkan ruang kosong untuk saya… saya perlu membuat pilihan bijak demi amanah yang diberikan.. Itulah sebab kenapa saya keluar UMNO, hari ini,” katanya padang sidang media di Alor Setar, hari ini.

Turut bersamanya dalam sidang media itu ialah Naib Ketua Puteri UMNO Langkawi Nur Aini Ahmad Ridzuan, Ketua PDM Padang Lalang Abdul Razak Mohd Rafie dan Ketua Cawangan UMNO Kampung Teluk Mohd Saiful Mustafa.

Ditanya sama ada akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Rawi berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan kerana mahu memikirkan parti mana dalam Pakatan Harapan yang selari dengan perjuangan Melayu dan Islam.

“Parti yang akan saya pilih adalah parti yang berjuang untuk bangsa agama dan negara serta mempunyai hala tuju yang jelas,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas bahawa UMNO Langkawi mempunyai 17,000 ahli, Mohd Rawi berkata, ia hanya nombor bukannya realiti dalam bentuk ahli kerana selama ini, belum pernah ada pemutihan dibuat ke atas ahli memetik laporan Harian Metro.

“Biarpun pimpinan UMNO Kedah kata apa yang berlaku (lompat parti) adalah proses pemutihan… Adakah ia benar-benar sebegitu?

“Jika benar UMNO Langkawi masih kekal ahli seramai itu, ke mana perginya mereka ini pada pilihan raya umum lalu yang jelas menunjukkan UMNO hilang lebih 50 peratus undi ahli di Langkawi hingga tewas semua kerusi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");