Berita Hari Ini

Bekas Ketua Polis Negara Diselar Muat Naik Video ‘Hasutan’ Lama Di Twitter

PETALING JAYA: Pengguna media sosial menyelar bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan memuat naik satu klip video lama mengenai seorang lelaki India memarahi anggota polis dan mempertikaikan motifnya berbuat demikian.

Pengguna Twitter, Huzaifi menasihatkan Musa melihat ke depan dan memperbaiki kerosakan yang berlaku.

“Ini salah satu hasutan. Kita hidup harmoni. Kami bukan penghasut. Aman damai kehidupan kami,” katanya kepada Musa.

Seorang lagi pengguna Twitter, Muzzzyyyy berkata: “Video lama. Jangan terpedaya dan paling penting sekali, jangan jadi batu api hanya untuk kepentingan sendiri.”

Adil pula menggesa Musa tidak mencetuskan ketegangan kaum kerana “tiada keperluan memainkan video lama”.

Video bertajuk “Indian driver fights with the police” dimuat naik ke YouTube pada 3 November 2011.

Seorang lagi pengguna media sosial, Vivek mencadangkan pihak berkuasa menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) ke atas Musa dan cadangan itu disokong ramai pengguna media sosial yang lain.

Pengguna Twitter, Abdul Razak Bin Azmi turut mempertikaikan motif Musa memuat naik video lama itu.

Musa dalam maklum balasnya di Twitter berkata: “Lama ke baru, inilah cara warga sekarang, tidak menghormati penguatkuasa. Polis ada cara untuk menangani situasi sedemikian. Boleh jadi kerana hak asasi manusia yang dijuangkan, polis tak berani mengguna kuasa.”

Musa berkata, penting untuk melihat kembali insiden sedemikian bagi memastikan ia tidak akan berulang.

“Kita perlu tahu sejarah,” katanya sambil menambah rakyat harus tahu kebenaran supaya mereka sedar mengenai insiden sedemikian.

Musa yang pernah menjadi ketua polis negara dari September 2006 hingga Mac 2010, berkata keadilan perlu diberikan kepada pegawai bertugas.

Dipercayai catatannya berkaitan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat kecederaan dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November lalu.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");