Berita Hari Ini

Bekas Sekutu Rosmah, Jutawan Sumbang Dana Untuk PH

Dua ahli perniagaan yang menjadi perhatian ketika era pentadbiran BN hadir di majlis makan amal Pakatan Harapan (PH) malam ini.

Mereka juga mengeluarkan kira-kira setengah juta ringgit untuk membeli gambar potret pemimpin PH menerusi bidaan.

Stanley Thai membeli gambar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan harga RM350,000.

Thai sebelum ini menyuarakan sokongan kepada Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 tetapi memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak sebelum PRU ke-14 berlangsung.

Sementara itu, Deepak Jaikishan membeli gambar potret Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan harga RM150,000.

Deepak sebelum ini mengaku terlibat dalam kehilangan penyiasat persendirian, mediang S Balasubramaniam selepas Balasubramaniam membuat beberapa dakwaan terhadap Najib.

Hubungannya dengan Najib dan isterinya Rosmah Mansor terputus selepas urus niaga dengan seorang pemimpin Umno tergendala.

Thai memenangi bidaan bagi gambar Mahathir selepas membuat bidaan tertinggi dan kemudian dipanggil untuk naik ke pentas bersama pengerusi Bersatu itu.

Antara PH dan BN

Sebaik sebelum PRU ke-13 lima tahun lalu, Thai secara terbuka menyokong Pakatan Rakyat – gabungan pembangkang ketika itu – dan berkata ia bagi “melindungi masa depan anak-anaknya”.

BN mengekalkan kemenangannya dalam PRU itu.

Thai yang ketika itu menjadi pengarah urusan Supermax Corp Bhd Group kemudian berdepan dengan beberapa masalah.

Ia termasuklah berdepan hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan bersalah kerana berkongsi maklumat dalaman berkaitan saham pada tahun 2014. Beliau kemudian membuat rayuan.

Sebulan sebelum PRU ke-14, Thai membuat permohonan maaf terbuka kepada Najib, mendakwa dia “dipengaruhi” pembangkang dan sebagai ahli perniagaan, tidak patut terlibat dalam politik.

BN kemudian tumbang dalam PRU 9 Mei selepas 61 tahun menjadi kerajaan.

Tiada layanan istimewa

Dalam ucapannya selepas itu, Dr Mahathir memberitahu para tetamu bahawa mereka tidak akan mendapat layanan istimewa selepas menyumbang kapada PH.

Menyatakan penghargaan kepada penyumbang, beliau berkata mereka tetap perlu melalui proses membida tender seperti biasa jika mahukan kontrak kerajaan.

“Saya ingin minta maaf kerana tiada layanan istimewa untuk anda. Jika mahu sesuatu dari kerajaan, caranya adalah bersaing menerusi tender terbuka. Jika tawaran bagus, anda mungkin mendapat (kontrak).

“Tetapi ia bukan kerana sumbangan anda malam ini. Ini kerajaan PH, kami perlu pastikan setiap yang dilakukan bersih daripada rasuah. Tiada cash is king dalam PH,” katanya lagi.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");