Perak Hari Ini

Benarkah Kasut Sekolah Mahal?

IPOH: Baru-baru ini media melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima aduan orang ramai berhubung kenaikan harga kelengkapan persekolahan terutamanya kasut sekolah.

Perak Today hari ini, cuba mendapatkan beberapa pandangan daripada ibu bapa di sekitar Bandaraya Ipoh berhubung laporan tersebut.

Ibu kepada dua cahaya mata, Nurhaifa Kamaruddin, 41, mengakui terdapat beberapa premis yang menjual barang kelengkapan persekolahan dilihat dengan sengaja telah menaikkan harga barang, khususnya kasut sekolah berwarna hitam.

“Kita tahu yang kerajaan akan mewajibkan pemakaian kasut hitam beberapa tahun lagi dan kemungkinan juga disebabkan itu, ada beberapa peniaga yang cuba ambil kesempatan dengan menaikkan harga kasut sekolah.

“Jika murid biasa yang memakai kasut putih seperti anak saya, tiada masalah. Namun jika ada anak yang merupakan pengawas yang wajib gunakan kasut berwarna hitam, ia mungkin sebaliknya.

“Peniaga mungkin mahu menghabiskan stok kasut putih dan disebabkan itu harga kasut putih tidak sama dengan harga kasut hitam,” katanya.

Selain itu, menurut Mohd Fauzi Baharin, 39, sebagai ibu bapa mereka seharusnya bijak berbelanja dan perlu ‘mengukur baju pada badan sendiri’.

Katanya, walaupun ada premis perniagaan yang didapati mengenakan harga mahal terhadap beberapa jenama kasut sekolah namun, masih terdapat beberapa premis perniagaan lain yang menawarkan harga yang lebih murah pada kasut yang sama.

“Kebiasaannya pada penghujung tahun ini, banyak tempat yang mengadakan harga promosi ataupun karnival beli belah barang kelengkapan persekolahan.

“Beberapa minggu lalu, saya ada membelikan sepasang kasut sekolah anak saya dengan harga RM17,” katanya.

Kenyataan itu senada dengan, Nurul Shafiqah Mohd Radzi, 41 dengan mengatakan ibu bapa harus berbelanja mengikut kemampuan dan tidak lari daripada perancangan kewangan.

Tambahnya, bagi yang tidak berkemampuan membeli kasut berwarna hitam, ibu bapa boleh membeli kasut berwaran putih kerana langkah mandatori pemakaian kasut hitam hanya berkuat kuasa pada tahun 2021.

“Jika kasut hitam mahal, beli kasut berwarna putih. Saya belikan anak saya kasut putih sahaja. Itu pun kasut itu ada diskaun yang harganya daripada RM19.90 menjadi RM14.90. Ada juga kedai yang saya jumpa jual lebih murah daripada itu

“Jika beli kasut yang berjenama sudah tentu ianya mahal. Maka, berbelanjalah dengan berhemah,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Mohd Zahid Affendi Kamarulzaman, 32, tidak rugi sekiranya ada ibu bapa yang berbelanja untuk mendapatkan kasut sekolah yang berjenama dan kualiti kerana katanya ia lebih menjimatkan dalam jangka masa panjang.

“Tidak salah rasanya berbelanja lebih untuk kasut sekolah anak. Jika berjenama dan kualiti tinggi, ianya akan memberi keselesaan kepada mereka dan kasut itu juga mampu tahan lama.

“Tidak guna jika kasut berharga murah namun terpaksa ditukar pada setiap pertengahan bulan kerana ianya tidak tahan dan mudah rosak,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Sufian Termizi, 33 berkata ibu bapa yang tinggal di bandar tiada masalah untuk mendapatkan kasut sekolah yang berharga murah namun tidak bagi yang tinggal di desa.

Katanya hal ini kerana, bilangan premis yang menjual barang kelengkapan persekolahan kebiasaannya terhad.

“Ibu bapa yang tinggal di kawasan luar bandar pada kebiasaannya tidak mempunyai banyak pilihan untuk membeli kasut sekolah untuk anak-anak. Jika ada mungkin dua atau tiga premis sahaja.

“KPDNHEP mungkin boleh mengambil langkah drastik dengan mengadakan pemantauan harga bukan sahaja di bandar malah di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");