Perak Hari Ini

Bukan Sahaja Perusuh, Peguam Dan Pemaju Juga Perlu Diambil Tindakan: Azwanddin

IPOH: Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mempersoalkan mengapa tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap pihak peguam serta pemaju One City Development Sdn Bhd sehingga ke hari ini.

Presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, sebagaimana dilaporkan pihak polis, individu-individu tersebut merupakan punca kepada rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, pada November lalu, sehingga meragut nyawa seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Kita tahu ada pihak yang telah mengupah ‘gangster’. Kenapa peguam dan pemaju tidak disiasat atau ditangkap? Dan mengapa sehingga hari ini, pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan kepada mereka,” soalnya.

Selain itu, beliau yang juga Penasihat Gagasan Tiga Malaysia turut mendesak agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P Waytha Moorthy dilucutkan jawatannya kerana mendakwa gagal menangani isu perpaduan negara sejak akhir-akhir ini.

Tegas beliau, jika ia tidak berlaku, pihaknya tidak teragak-agak untuk mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed pula meletakkan jawatan.

“Kita desak supaya Waytha Moorthy ini harus dipecat. Kita minta Perdana Menteri pecat beliau.

“Namun, jika beliau tidak ambil tindakan, memorandum kita pula tidak diambil perhatian, suara kita tidak didengar, kita akan bangkit, minta Tun Dr Mahathir berundur,” tegas Azwanddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Himpunan Keadilan Buat Adib, di Padang Ipoh, di sini hari ini.

Ketibaan beliau sekitar jam 4.31 petang itu disambut hampir 100 orang peserta yang hadir berpakaian serba hitam.

Terdahulu, program yang berlangsung sekitar jam 2.30 petang itu telah menampilkan beberapa individu daripada pelbagai latar belakang untuk berucap.

Antara yang mencuri tumpuan umum ialah ucapan yang disampaikan oleh salah seorang peserta, Zul Aifaa Zulkapli, 26.

Beliau yang merupakan ahli Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak berkata tuntutan keadilan yang ingin disuarakan ini bukanlah atas dasar Allahyarham Muhammad Adib merupakan seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, sebaliknya ia atas dasar nilai kemanusiaan.

Ujarnya, sebagaimana yang diajar dalam Islam, keadilan itu harus dituntut ke atas mana-mana pihak tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

“Kita hadir hari ini adalah menuntut keadilan bagi nilai seorang manusia. Dalam kes Muhammad Adib, kita serah kepada pihak berkuasa. Itu kerja mereka. Kita suarakan harapan kita melalui saluran yang betul.

“Dalam masa sama, kita jangan jadikan isu ini sehingga memecahbelahkan antara kita. Dalam menuntut keadilan, Nabi ajar kita jangan sebarkan kebencian pada kaum lain,” katanya.

Ucapan tersebut tidak dapat diteruskan apabila terdapat beberapa peserta yang hadir cuba menganggu beliau daripada terus berucap.

Keadaan kemudiannya ditenangkan Bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman, yang bertindak sebagai juruacara.

Pada masa sama, Program Himpunan Keadilan Buat Adib itu yang pada awalnya menjadi platform untuk menyuarakan kesedihan dan pembelaan kepada Allahyarham Muhammad Adib dilihat bertukar kepada pentas politik.

Terdapat juga segelintir individu yang dilihat dengan sengaja mengalihkan isu insiden yang menimpa kepada anggota bomba itu kepada isu berbaur perkauman dan beberapa isu yang tidak berkaitan dengan program.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");