Panasnya Hari Ini

Calon BN Di Cameron Highlands Belum Ditentukan

LIPIS: Barisan Nasional (BN) masih belum memutuskan calon daripada mana-mana parti komponennya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bulan hadapan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata walaupun secara tradisi kerusi itu adalah kuota MIC, BN masih belum memuktamadkan lagi calon daripada parti mana yang akan bertanding.

Beliau, yang juga Pengarah PRK Cameron Highlands BN, berkata beliau difahamkan BN belum membuat keputusan muktamad calon mana akan bertanding dan ia masih dalam perbincangan.

“Kita masih berbincang sama ada ingin mengekalkan kuota MIC atau sebaliknya…tetapi perlu saya ingatkan ia adalah kuota MIC yang mana MIC bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan berjaya mengekalkan kerusi berkenaan

“Yang penting, calon BN yang akan dipilih nanti adalah calon boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri di Ladang Kontrak Tembikai Wangi (Rock Melon) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Datuk Nazipah Jamaluddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Datuk Zahimi Hassan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, berkata BN sentiasa bersiap sedia dan mengambil perhatian serius bagi memastikan kerusi Cameron Highlands kekal dikuasai BN.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh, bagi Kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14 adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang dengan majoriti 597 undi selepas memperoleh 10,307 undi menewaskan calon DAP, M Manogaran yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud daripada PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim daripada Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

SPR kemudian menetapkan 26 Januari ini sebagai hari mengundi manakala 12 Januari sebagai hari penamaan calon.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata daerah Lipis akan menjadi hub pengeluar tembikai wangi terbesar di Negeri berikut kejayaan petani di daerah itu berjaya mengeluar buah bermutu tinggi sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, pada masa ini kawasan seluas kira kira 8.4 hektar sudah diusahakan tanaman tembikai wangi yang mampu mengeluarkan 60 metrik tan setiap tuaian.

Wan Rosdy turut meluluskan RM500,000 untuk Taman Kekal Pengeluaran Makakan ( TKPM) Jelai bagi memajukan serta mengatasi masalah di tempat berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");