Perak Hari Ini

Dakwaan Ada Gerakan Jatuhkan MB Perak: BERSATU Tak Akan Ambil Sebarang Tindakan

IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perak tidak akan mengambil sebarang tindakan setakat ini, berhubung isu dakwaan cubaan menggulingkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau yang juga Pengerusi BERSATU negeri sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi tujuan siasatan berhubung dakwaan tersebut.

“BERSATU tidak akan mengambil sebarang tindakan setakat ini kerana kita tidak nampak apa kesalahan dalam kalangan ahli EXCO kerajaan negeri atau ahli-ahli Pakatan Harapan (PH).

“Tetapi jika pihak polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang mahu menjalankan siasatan atas terhadap dakwaan itu, kita alu-alukan dan serah kepada mereka untuk apa juga tindakan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berkhatan di Taman Meru, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal yang juga ahli Parlimen Tambun berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung tindakan SPRM yang memanggil Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad serta lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu di pejabat SPRM negeri, untuk memberi keterangan semalam, berhubung siasatan terhadap dakwaan wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar.

Lima ADUN berkenaan ialah ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu), Khairul Shahril Mohamed (Bota), Maslin Sham Razman (Bukit Chandan) dan Dr Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).

Terdahulu, SPRM telah memanggil Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari untuk memberi keterangan terhadap dakwaan gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir pada Rabu lalu.

Difahamkan SPRM telah mengambil masa dua jam untuk merakam kenyataan ADUN Tebing Tinggi itu.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata beliau secara peribadi tidak mendapat makluman berkenaan tindakan SPRM yang telah memanggil beberapa ADUN di negeri itu untuk membantu siasatan terhadap dakwaan cubaan menggulingkannya sebagai Menteri Besar.

“Saya sebenarnya tak dapat makluman yang SPRM telah mengambil tindakan dengan memanggil beberapa ADUN untuk membantu siasatan terhadap dakwaan kononnya ada usaha untuk menggulingkan Menteri Besar.

“Tapi jika ada siasatan telah dimulakan, saya alu-alukan dan saya sendiri bersedia untuk beri keterangan jika perlu,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");