Perak Hari Ini

Edaran Risalah ‘Muslim Love Jesus’ Di Ipoh? Ini Sebenarnya Berlaku…

IPOH: Pada Julai lalu tular beberapa keping gambar sekumpulan anak-anak muda memakai baju yang tertera perkataan Baju “Muslims Love Jesus & Muhammad PBUH” di Ibu Negara.

Perkataan tersebut kembali tular baru-baru ini apabila terdapat satu rakaman video yang menunjukkan sekumpulan pelajar wanita menyebarkan risalah “Muslim Love Jesus – He is a Prophet of God” di percayai di lakukan sekitar Bandaraya Ipoh.

Ia turut mengundang pelbagai reaksi netizen di laman sosial Facebook dan Twitter serta tidak kurang juga terdapat segelintir pihak yang cuba mengaitkan perkara tersebut dengan isu kristianisasi dan politik.

Video berdurasi 52 saat itu menunjukkan salah seorang daripada mereka yang juga dipercayai penuntut di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, memperkenalkan diri sebagai “daripada MRM, di bawah Firdaus Wong”.

MRM merupakan singkatan bagi gerakan dakwah Islam Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa atau Mualaf Berbilang Bangsa yang dipelopori penceramah terkenal tanah air Firdaus Wong Wai Hung.

Sumber: FB Multiracial Reverted Muslims – MRM

Hasil carian di laman Facebook rasmi MRM, difahamkan ia merupakan sebahagian daripada program Mega Street Dakwah 2018 yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 15 Disember baru-baru ini.

“Alhamdulilah lima insan memeluk Islam semasa Mega Street Dakwah Kuala Lumpur. Ini adalah kali ke-5 kami di Multiracial Reverted Muslims – MRM menganjurkan Mega Street Dakwah.

“Namun sudah tentu ada pihak yang kurang faham atau mungkin sengaja buat tak faham yang mempersoalkan program dakwah serta kenapa kami menggunakan nama ‘Jesus’ dan bukannya Nabi Isa,” tulis kenyataan tersebut yang disertai dengan pautan video YouTube penjelasan oleh Firdaus.

http://www.facebook.com/MultiracialRevertedMuslims99/posts/1839177649514492

Dalam video tersebut, Firdaus menjelaskan bahawa perkara tersebut merupakan langkah dakwah yang cuba mencari ‘titik persamaan’ dengan agama lain khususnya Kristian, yang merujuk kepada Surah Ali Imran ayat ke 64.

Sumber: FB Street Dawah Malaysia

“Dalam Al-Quran terjemahan Bahasa Inggeris, Nabi Ibrahim menjadi ‘Abraham’, Nabi Sulaiman menjadi ‘Solomon’, Nabi Daud menjadi ‘David’, Nabi Harun menjadi ‘Aaron’, Maryam menjadi ‘Mary’.

“Jesus’ pula siapa? Nabi Isa. Orang Kristian menyebut ‘Jesus’ mati disalib tetapi, Islam menyatakan bahawa Isa tidak mati disalib. Bukankah ia merujuk pada individu yang sama,” katanya dalam video berdurasi sekitar 8 minit.

Sumber: FB Street Dawah Malaysia

Menerusi laman Facebook rasminya, Firdaus turut berkongsi risalah yang disebarkan seperti yang ditunjukkan dalam video tular berkenaan dalam terjemahan Bahasa Melayu.

Secara keseluruhan teks yang terdapat pada risalah berkenaan menjelaskan bahawa ‘Jesus’ adalah seorang Nabi yang diutuskan Allah sebagaimana Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Musa, dan kesemua 25 Rasul termasuk Nabi Muhammad SAW dan ‘Jesus’ ataupun Nabi Isa bukanya ‘Tuhan’.

Ia turut disertakan dengan dalil-dalil yang merujuk kepada Al-Quran dan beberapa potong ayat yang ada di dalam Kitab Injil, sebagai perbandingan.

https://www.facebook.com/FirdausWongMRM/posts/1818686734908971

Langkah Dakwah Yang Disokong

Salah seorang pensyarah USAS, Aida Hartini Nan yang dipetik pada status Facebook beliau, memuji kumpulan dakwah tersebut selain turut menyatakan kekesalan sikap segelintir masyarakat yang memandang serong kepada mereka.

“Pelajar USAS sedang buat dakwah. Banyak pahala mereka. Masyarakat hanya baca tajuk. Tapi malas baca isi kandungan risalah yang mereka edarkan.

Sumber : FB Multiracial Reverted Muslims – MRM

“Objektif dakwah ini hendak beri tahu kepada masyarakat bahawa wahyu dan akidah yang dibawa oleh Nabi Isa adalah sama sebagaimana wahyu yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

“Hendak sampaikan salah faham kepada masyarakat bukan beragama Islam tentang Nabi Isa ataupun ‘Jesus’ itu juga adalah Nabi kita. Rupanya kita beriman dengan Nabi yang sama,” tulisnya.

Kaunselor USAS, Adam Hafis yang juga selain dilihat senada dengan Aida turut menulis bahawa perkara tersebut harus dipandang dengan sudut yang positif oleh semua pihak.

Sumber: FB Firdaus Wong Wai Hung (Official)

“Kita sebagai umat Islam sangat sensitif apabila orang sentuh agama kita. Bagus lah tu. Tetapi kita juga jangan cepat melatah. Kaji dan selidik dahulu,” katanya.

Pada masa sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga memuat naik pautan jawapan Mufti Wilayah, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di Twitter pada semalam.

Merujuk pada isu sama yang berlaku di Kuala Lumpur, artikel yang ditulis pada Julai lalu menyebut slogan ‘I am Muslim and I follow Jesus’ tidak bercanggah dengan akidah Islam malah ia dilihat mampu membuka kepada perbincangan ilmiah dalam kalangan umat Islam dan penganut Kristian.

“Sememangnya sebagai umat Islam kita mempercayai bahawa akidah daripada Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad adalah sama. Kesemuanya membawa ajaran tauhid yang sama iaitu mengesakan Allah SWT,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");