Sukan Hari Ini

FAM Jawab Isu Viral Tentang Tiket AFF

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menjelaskan situasi sebenar mengenai isu gambar dan posting Facebook milik Nur Iman Dzakirah yang mendakwa menerima sejumlah 2,800 tiket final pertama Piala AFF antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, tiket berkenaan sebenarnya adalah milik penyokong pasukan Vietnam yang akan menghadiri aksi final itu dengan Nur Iman bertindak sebagai pegawai rombongan penyokong pelawat itu.

Katanya, posting dimuatnaik Nur Iman itu bagaimanapun disalah erti oleh penyokong bola sepak tempatan apabila menyangka dia adalah kroni FAM dan akan menjualnya semula dengan harga yang tinggi.

“Dia (Nur Iman) ditugaskan untuk mengambil tiket berkenaan sebelum diberikan kepada Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) yang akan membawa penyokong mereka untuk aksi final di Bukit Jalil nanti.

“Berdasarkan perjanjian antara FAM dan VFF, pihak FAM akan memperuntukkan 3,000 keping tiket untuk dijual kepada penyokong Vietnam. VFF juga akan memperuntukkan 3,000 keping tiket untuk dijual kepada penyokong Malaysia bagi final kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu ini.

“Jadi sebenarnya tak ada isu, cuma posting yang dimuat naik itu disalah erti dan ia menjejaskan imej FAM selain menggangu fokus pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada sesi media khas yang turut disertai pengurus pasukan Vietnam, Doan Anh Tuan di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan tiket perlawanan akhir membabitkan Malaysia dan Vietnam yang dijual di kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Ahad lalu, habis dalam masa hanya setengah jam.

Sebanyak 40,000 tiket dijual dalam masa yang pantas itu kemudiannya mengakibatkan kemarahan segelintir pihak yang menunggu di pekarangan stadium nasional itu sejak malam sebelumnya.

Kemuncak kemarahan penyokong apabila beberapa keping gambar dan video menjadi tular. Gambar dan video itu memaparkan beberapa individu yang berjaya mendapatkan tiket secara pukal di Wisma FAM tanpa perlu beratur di stadium seperti mana penyokong lain.

Dalam perkembangan sama, Stuart turut menjelaskan mengenai satu video tersebar di Instagram membabitkan seorang remaja lelaki memiliki hampir 100 keping tiket yang diperolehinya ketika berada di ibu pejabat FAM.

“Selain penjualan tiket di kaunter, kita juga memperuntukkan sejumlah tiket kepada individu berstatus VIP. Jadi budak itu adalah anak kepada individu berkenaan yang membeli tiket itu di FAM.

“Sekarang dengan teknologi terkini, semua perkara nak dimuat naik di laman sosial, ia akhirnya mendatangkan persepsi yang tidak baik. Saya sudah lihat posting budak itu, dia bukan nak jual sekadar berkongai perasaan gembira kerana dapat tiket,” katanya.

Skuad kendalian Tan Chen Hoe bakal turun menentang Vietnam bagi memburu kejuaraan kedua Piala AFF selepas kali terakhirnya menjulangnya pada 2010 lapor NSTP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");