Berita Hari Ini

Giliran FELCRA Bhd Pula Dilapor Ke SPRM

KUALA LUMPUR: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA Berhad) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu selepas mendapati beberapa penemuan meragukan dalam laporan audit badan itu, menurut Pengerusi FELCRA Berhad yang baharu, Datuk Nageeb Wahab.

“Pihak audit luar yang dilantik dengan kerjasama pihak audit dalam FELCRA telah melaksanakan semakan dan siasatan secara menyeluruh dan telah menemui beberapa penemuan yang memerlukan siasatan lebih lanjut oleh SPRM,” katanya dalam satu kenyataan ketika berucap di hari pertama beliau di badan itu.

Tambah beliau laporan itu adalah bagi menjaga kepentingan umum khususnya kerajaan, ahli FELCRA dan pekerja.

“Pihak pengurusan FELCRA akan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang tempoh siasatan oleh pihak SPRM dan akan memastikan supaya mana-mana pihak yang didapati terlibat dan bersalah akan diadili dengan seadilnya mengikut tingkat-tingkat hukuman yang digunapakai kini,” tambahnya.

Pada 19 Oktober, Nageeb mengumumkan penjualan Menara FELCRA di Jalan Semarak yang sedang dalam pembinaan bagi mengelak implikasi terhadap kewangan syarikat itu.

Entiti milik penuh kerajaan itu ketika ini sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak dari dalam dan luar negara untuk penjualan projek berkenaan yang sudah 50 peratus siap.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira FELCRA perlu membelanjakan kira-kira RM400 juta lagi sekiranya mahu meneruskan projek yang bertukar pemaju daripada sebelum ini dan dijangka siap akhir tahun depan.

Projek Menara FELCRA yang dibina di kawasan seluas 1.8 hektar bernilai RM150 juta milik FELCRA itu membabitkan projek pembangunan campuran termasuk sebuah menara 35 tingkat pejabat, sebuah menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah.

Pada 25 Oktober Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohd Azmin Ali berkata keputusan kerajaan untuk menjual aset Felcra Berhad di Jalan Semarak dibuat sebagai usaha menyelamatkan syarikat itu yang kini terbeban dengan masalah kewangan kerana terpaksa menanggung kos projek tersebut.

Jelas Azmin, langkah itu dijangka dapat memberi balik keuntungan kepada Felcra dimana nilai hartanah semasa bagi kawasan itu ialah sebanyak RM115 juta lapor Astro Awani.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");