Panasnya Hari Ini

Guna ‘Pintu Depan’ Tarik Wakil Rakyat UMNO Masuk BERSATU

KUALA LUMPUR: Usaha memujuk dan ‘mencuri’ wakil rakyat UMNO melalui pintu belakang tidak memberi apa-apa jaminan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mencabar BERSATU untuk menggunakan ‘pintu depan’ sebagai bukti parti itu berani dalam usaha menarik wakil rakyat UMNO.

“Secara peribadi saya berasakan usaha ‘memujuk’ dan ‘mencuri’ wakil rakyat UMNO melalui pintu belakang tidak memberi jaminan kepada BERSATU.

“Apa lagi kalau yang dibawa itu adalah ‘kayu mati’ yang sudah tiada pengaruh lagi. UMNO tidak mati, malah akan semakin segar.

“Lebih baik Tun M (Pengerusi BERSATU merangkap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) memikirkan tindakan lebih berani. Berkira kita melalui pintu depan.

“Lagi pun rumah ini rumah asal Tun sendiri. Masih ramai di sini yang merasakan Tun M adalah sebahagian dari rumah agam ini,” katanya dalam satu entri di Facebooknya, lapor BH Online.

Sementara itu Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, penghijrahan keluar wakil rakyat UMNO sama ada menjadi Bebas atau menyertai BERSATU bersifat sementara dan sesetengahnya adalah ‘taktikal’.

Katanya, ia tidak akan merencatkan proses melahirkan semula UMNO selain dari sudut lain membantu memudahkan proses itu berjalan.

“Sebelum bertemu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sekurang-kurangnya sekali lagi proses ‘internal cleansing’ (pembersihan dalaman) akan berlaku. PRU-15, UMNO akan dipimpin generasi baru.

“Adalah penting UMNO dibersihkan bukan saja dari segi kepemimpinan tapi juga budaya dan falsafah perjuangan. Rasuah, penyalahgunaan kuasa, berpuak-puak, perkauman dan politik kebendaan adalah perkara yang wajib dihapuskan,” katanya.

“UMNO harus menjadi sebahagian daripada ‘new alliance’ (pakatan baharu) dengan ‘new deal’ (rundingan baharu) dan ‘new hope’ (harapan baharu). Sekiranya ini dapat dilakukan lebih cepat, lebih baik,” katanya.

Annuar turut mendakwa, mereka yang keluar UMNO masih berjiwa UMNO termasuk Dr Mahathir.

“UMNO adalah parti dan tidak bersalah. Yang salah adalah kita yang memimpin, bukan UMNO. Selepas ia diperbaiki, saya mendoakan agar kiambang bertaut kembali, agar perjuangan umat Melayu dan Islam diperkasakan.

“Dalam hal ini saya secara peribadi berasakan Tun M ada peranan yang sangat besar. Tun M sudah melakukan bermacam-macam untuk negara kecuali satu perkara iaitu perpaduan Melayu dan menjadikan Melayu serta Islam tiang seri politik negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");