Berita Hari Ini

HINDRAF Dakwa Waytha Moorthy Dijadikan ‘Kambing Hitam’

KUALA LUMPUR : Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) mendakwa pengerusinya, P Waytha Moorthy dijadikan ‘kambing hitam’ dalam politik perkauman dan agama, susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Penasihat Perundangan HINDRAF, Karthig Shan, berkata politik perkauman dan agama digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu dengan mengaitkan kematian tragik Adib.

“Mereka mengelirukan rakyat dengan mewujudkan persepsi bahawa kematian itu adalah isu agama yang mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Khamis lapor Berita Harian.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam.

Dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, akhir bulan lalu, Waytha turut mengeluarkan kenyataan menyalahkan polis kerana didakwa tidak mengendalikan isu itu dengan baik.

Sementara itu, pemergian Muhammad Adib yang ditangisi seluruh negara dipercayai turut menjadi punca banyak pihak mula mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan atau dipecat.

Antaranya, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, yang mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan selewat-lewatnya esok, atau satu perhimpunan akan diadakan bagi menuntut beliau berbuat demikian.

Beliau dilaporkan kecewa apabila Waytha Moorthy langsung tidak menggambarkan imej beliau sebagai seorang menteri yang memegang portfolio perpaduan.

Susulan insiden rusuhan itu, petisyen menerusi tandatangan dalam talian Change.org, dilancarkan bulan lalu oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) mensasarkan 300,000 tandatangan dan sehingga jam 9 malam ini 297,165 sudah menandatangani untuk Waytha Moorthy meletak jawatan.

Menurut GPS, tindakan Waytha Moorthy turut memburukkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa menerusi penyebaran fitnah kononnya rakyat negara ini yang beragama Hindu ditindas.

Beliau sebelum ini turut berkeras mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), yang sebenarnya gagal untuk mengawal ketegangan kaum daripada semakin memuncak sejak kebelakangan ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");