Berita Hari Ini

Hindraf: Waythamoorthy Jadi ‘Kambing Hitam’

Hindraf menyifatkan pengerusinya P Waythamoorthy menjadi “kambing hitam” dalam politik perkauman dan agama, susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Politik perkauman dan agama telah didorong dengan sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu dengan menggunakan kematian tragis Adib.

“Mereka telah mengelirukan rakyat dengan mewujudkan persepsi bahawa kematian tersebut adalah isu agama yang mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy,” kata Penasihat Perundangan Hindraf Karthig Shan dalam kenyataan hari ini.

Susulan kematian Adib pada 17 Disember lalu, banyak pihak mula mendesak agar Waytha meletakkan jawatan atau dipecat.

Antaranya Pemuda Bersatu yang mendakwa beliau selaku menteri bertanggungjawab dalam soal perpaduan gagal meredakan ketegangan kaum dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, akhir bulan lalu.

Waythamoorthy juga disebut sebagai menyalahkan polis kerana didakwa tidak mengendalikan isu itu dengan baik

Setakat semalam, pungutan suara atas talian yang mendesak perkara sama juga telah mengumpul lebih 300,000 tanda tangan.

“Lebih mengecawakan usaha bersepadu untuk mewujudkan persepsi mengenai ketegangan antara kaum di negara ini dibiarkan berleluasa walau ia berunsur jenayah dan dikecam oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin,” kata Karthig lagi.

Beliau berharap kerajaan dapat menangani apa yang disifatkannya sebagai persepsi palsu itu dengan cara yang “sihat dan membina” dan tidak membiarkan ia terus memburuk.

“Polis sedang menyiasat kes ini dan kenyataan pihak-pihak tertentu hanyalah andaian semata-mata.

“Hindraf menggesa kerajan menyekat kegiatan tidak bertanggungjawab ini yang dilakukan demi kepentingan politik semata-mata,” katanya lagi.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");