Berita Hari Ini

ICERD: Jangan Cetus Provokasi – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan peserta perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) petang ini supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata ini kerana PDRM sudah bersiap-siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

Beliau berkata, sejak semalam PDRM sudah membuat pemantauan dan jumlah peserta perhimpunan pada pagi ini dianggar seramai 5,000 orang dan jumlah itu dijangka meningkat petang ini.

“PDRM telah buat persiapan serapi mungkin dan kami berdoa dan berharap agar tiada apa-apa yang berlaku pada petang ini.

“Sekiranya perhimpunan ICERD ini tidak selesai selepas 6 petang ini, PDRM akan terus memantaunya sehingga pagi esok dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Berkhatan Perdana PDRM 2018, di Masjid Bukit Aman di sini, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata PDRM akan menutup enam jalan di ibu negara yang bermula 6 pagi hari ini

Tindakan berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada peserta berhimpun di Jalan Raja di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, seramai 74 kanak-kanak berumur lapan hingga 10 tahun terdiri daripada anak-anak warga PDRM menyertai majlis berkhatan berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");