Panasnya Hari Ini

Jangan Salah Tafsir Kenyataan Kit Siang – BERSATU Pahang

KUANTAN: Kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengenai kemungkinan parti itu meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu difahami bagi mengelak tafsiran kurang tepat sehingga boleh mengelirukan orang ramai.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pahang, Wan Mohd Shaharir Wan Abd Jalil, berkata keresahan disuarakan ahli politik veteran DAP itu adalah merujuk kepada kenyataan dibuat seorang ahli perniagaan, Clement Hii, yang menganggap DAP seolah-olah menyerupai MCA.

“Kita kena lihat mengapa Kit Siang mengeluarkan kenyataan begitu… beliau hanya menjawab lontaran disuarakan Hii dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon yang menuduh kononnya DAP sudah gagal memperjuangkan hak orang Cina apabila menyatakan persetujuan dalam penolakan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

“Jadi, bagi membalas keresahan disuarakan Hii dan Hang Soon, Kit Siang menegaskan bahawa DAP bukan seperti MCA yang akan tunduk terhadap sebarang tekanan dan sedia meninggalkan kerajaan PH jika mereka tidak melaksanakan agenda Malaysia Baharu, seperti dipersetujui semua parti komponen dalam PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Semalam, Kit Siang melalui blognya menegaskan bahawa pemimpin DAP tidak akan menjadikan diri mereka sebagai MCA2 atau seperti pemimpin MCA yang hanya mewakili kaum Cina di Malaysia.

Menurutnya, pemimpin DAP dalam kerajaan akan memainkan peranan penting untuk membina Malaysia Baharu dan menyelamatkannya daripada kegagalan.

“Pemimpin DAP menjadi kerajaan kerana kita boleh memainkan peranan penting untuk membina Malaysia Baharu dan menyelamatkan Malaysia daripada membuat demokrasi olok-olok, kakistokrasi (pemerintahan paling teruk) dan kleptokrasi global.

“Pemimpin DAP, sama ada di dalam kerajaan atau di luar, tidak akan ragu-ragu meninggalkan kerajaan campuran jika tujuan Malaysia Baharu ditinggalkan.

“Pemimpin-pemimpin DAP tidak akan menjadi seperti pemimpin MCA,” katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, berbanding MCA, DAP mahu pemimpin dan ahlinya berpolitik untuk berkhidmat kepada negara dan bukannya untuk diri sendiri sama ada untuk kekayaan, mendapat hak milik atau kedudukan.

Sementara itu, Wan Mohd Shaharir berkata, komponen terpenting dalam agenda Malaysia Baharu ialah menghapuskan amalan rasuah, kleptokrasi, ketelusan dan tidak ada pemusatan kuasa oleh mana-mana pihak dalam PH, dan semuanya sedang dilakukan dengan baik oleh kerajaan PH ketika ini.

Katanya, sebagai kerajaan Pusat yang baharu, gabungan PH juga sudah menyatakan persetujuan untuk memastikan setiap keputusan dibuat adalah melalui konsensus, membabitkan semua parti komponen bagi mengelak berlakunya salah faham atau keputusan yang tidak mencerminkan kesepakatan antara mereka.

“Saya percaya DAP bukanlah parti chauvinist Cina… Kit Siang pun sudah menjelaskan perkara ini dan ia (DAP) adalah parti berbagai kaum, termasuklah Orang Asli, Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan… mereka (DAP) juga menafikan bahawa parti itu hanya memperjuangkan kaum Cina sahaja,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");