Panasnya Hari Ini

Jangan Sekat Individu Nak Masuk Bersatu

KULAI – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan kepimpinan parti itu agar tidak menghalang atau menyekat mana-mana individu yang ingin menyertai parti berkenaan.

Muhyiddin berkata, ini adalah kerana parti itu masih memerlukan lebih ramai lagi ahli untuk mengukuhkan kedudukannya serta memperjuangkan agenda-agenda ditetapkan.

“Kita nakkan ramai tokoh, lebih ramai ahli, lebih banyak orang yang bersedia membantu menyumbang (kepada parti). Perjalanan kita masih jauh lagi, baru dua tahun. Jadi tentu banyak perkara yang kita harus lakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Bersatu Johor di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Bersatu adalah parti yang terbuka dan tidak sama seperti parti-parti politik terdahulu yang telah kalah dalam pilihan raya umum lepas yang didapati telah mengamalkan politik buruk.

“Bersatu tidak mengamalkan dasar ini. Kita nak tambah ahli. Lepas mereka masuk dan setelah itu nak menubuhkan lebih banyak cawangan-cawangan pula, itu terserah kepada pimpinan peringkat bahagian,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata di Johor misalnya, Bersatu kini sudah mempunyai lebih daripada 180 cawangan dan berharap bilangannya itu akan bertambah pada masa akan datang memandangkan banyak lagi ruang dapat ditawarkan.

Berhubung isu lain, Muhyiddin menyatakan bahawa beliau tidak nampak kesahihan dakwaan kononnya terdapat pihak tertentu cuba ‘menukar’ Menteri Besar Johor.

“Tetapi untuk menentukan supaya politik di negeri ini stabil, kedudukan Menteri Besar itu tidak seharusnya dibangkitkan,” kata beliau mengulas ketidakpuasan hati Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam berhubung pihak yang didakwa cuba ‘menukar’ Menteri Besar Johor.

Mengenai konvensyen itu pula, Muhyiddin memberitahu beliau telah menggariskan kepentingan untuk Pakatan Harapan (PH) mempunyai Agenda Bumiputera dalam kerangka baharu mengikut konteks Malaysia baharu.

Katanya, PH tidak boleh mengenepikan agenda itu dalam apa juga keadaan sekalipun kerana ramai daripada masyarakat bumiputera khususnya Melayu masih tertanya-tanya tentang jaminan masa depan mereka atau sama ada kedudukan mereka dipertahankan.

“Mereka belum lagi mendapat perkara yang jelas tentang dasar-dasar kita, sebab itu saya tidak rasa ragu-ragu untuk menekannya kerana harus mempunyai konsep shared prosperity atau kemakmuran bersama selain mengambil kira kepentingan-kepentingan lain,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");