Perak Hari Ini

Jenazah Mangsa Letupan Dan Kebakaran di Jelapang Tidak Dapat Diserahkan Kepada Keluarga Hari Ini

IPOH: Kesemua jenazah mangsa tragedi letupan dan kebakaran premis perniagaan pengaturcaraan majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, di sini semalam, tidak dapat diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing pada hari ini.

Mereka adalah Ahmad Faizal Aminuddin, 16; Mohammad Nor Ikram Mohd Husni, 15; Mohammad Nuraiman Abdul Rahman, 16; Mohamad Ekmal Izzuddin Mohd Kamari, 16; dan Muhamad Azhar Shah Rosli, 19.

Ia termasuk mayat majikan mereka, P Thiagarajan, 40 yang turut sama terkorban dalam tragedi tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata kesemua mangsa akan diserahkan kepada pihak polis sejurus kesemua proses bedah siasat selesai.

Jelasnya, tiga daripada enam mangsa telah selesai menjalani proses berkenaan.

Namun katanya, identiti kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti kerana masih menunggu keputusan daripada laporan rekod pergigian mereka.

“Jenazah akan diserahkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan selepas selesai siasatan polis, baru kita akan serahkan kepada keluarga masing-masing. PDRM sendiri akan hubungi mereka selepas itu.

“Saya tidak mahu mengagak namun saya yakin, memang proses pengebumian tidak dapat dilakukan hari ini kerana kita masih lagi menunggu laporan rekod pergigian kesemua mangsa,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau yakin proses tersebut akan selesai secepat mungkin selain turut menyedari keperluan bagi mempercepatkan proses pengebumian buat jenazah yang beragama Islam.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari; Pengarah HRPB, Dr. Teo Gim Sian; serta Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perak, A. Anthony Arul Dass.

Selain daripada kerajaan negeri, ujar Sivanesan, PERKESO turut bakal memberi bantuan kepada setiap ahli keluarga mangsa bagi urusan pengebumian serta dapat meringankan beban mereka.

Ketika ditanya adakah bantuan tersebut turut melibatkan mangsa yang berada di bawah umur, jelasnya akta PERKESO tidak menyatakan umur minimum terhadap penerima.

Pada masa sama, A. Anthony berkata, pihak mereka akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti rekod caruman kesemua mangsa.

“Kita akan buat siasatan. Jika mereka ini pekerja yang termaktub di bawah akta PERKESO, kita akan beri bayaran faedah kepada semua waris mangsa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");