Berita Hari Ini

Jeti Pulau Orang Utan Bukit Merah Lake Town Resort Terbakar

BAGAN SERAI – Sebuah jeti yang terletak di Pulau Orang Utan, Bukit Merah Lake Town Resort di sini terbakar semalam.

Kejadian kira-kira pada pukul 7.15 malam itu, bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa pekerja mahupun orang utan yang berada di pulau berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Abd. Nasir Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.20 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Anggota menaiki bot ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tebing.

“Operasi memadamkan api dibuat menggunakan dua aliran pancutan menggunakan pam angkut bersumberkan air dari tasik Bukit Merak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Abd. Nasir, kira-kira 30 peratus jeti berkenaan terbakar yang melibatkan kafe, gerai cenderahati dan kawasan terbuka di pulau berkenaan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 10.30 malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pulau Orang Utan BMLR, Dr. D. Sabapathy berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh insiden yang melibatkan jeti pulau tersebut.

“Kebakaran tersebut tidak melibatkan kemalangan jiwa memandangkan waktu tersebut bukan waktu lawatan dan kakitangan juga telah tamat waktu bekerja.

“Bagaimanapun, kakitangan yang sedang dalam perjalanan pulang menaiki bot ke BMLR telah melihat kebakaran tersebut dan terus menghubungi pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Katanya lagi, pihaknya sentiasa menitikberatkan keselamatan pengunjung, kakitangan dan haiwan-haiwan yang berada di pulau tersebut memetik laporan Kosmo Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");