Perak Hari Ini

Kakitangan LAP Terima Bonus Dua Bulan Setengah

IPOH: Sekitar 1,100 kakitangan Lembaga Air Perak (LAP) bakal menikmati bayaran bonus dua bulan setengah gaji yang membabitkan peruntukkan berjumlah RM6.7 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembayaran bonus tersebut bakal selesai sebelum penghujung bulan ini ataupun selewat-lewatnya sebelum sambutan perayaan Hari Krismas.

Katanya lagi, kesemua kakitangan harus berasa bersyukur apabila dapat berkhidmat di LAP selain berharap agar mereka turut dapat menyumbangkan sedikit daripada bonus yang diterima itu, kepada warga yang memerlukan.

“Pada masa akan datang, kita mungkin akan mencadangkan agar pemberian bonus kepada kakitangan LAP, berdasarkan kepada Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kerja masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan LAP, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi LAP berkata, jumlah anggaran keuntungan bersih LAP, sebelum cukai, telah meningkat sebanyak RM0.33 juta, iaitu dari RM56.70 juta, sehingga 31 Oktober 2017 kepada RM57.03 juta, dalam tempoh yang sama pada tahun ini.

Tambahnya, jualan air juga telah meningkat iaitu daripada RM279.10 juta pada hujung Oktober tahun lalu, kepada RM285.60 juta pada tempoh masa yang sama.

Menyentuh tentang status pemberian subsidi air percuma untuk golongan miskin, Ahmad Faizal berkata, dalam tempoh 11 tahun sejak ia dilaksanakan, sehingga 26 November lalu, seramai 11,555 keluarga telah menikmati inisiatif tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM10.2 juta.

Jelasnya lagi, daripada jumlah kos tersebut, sebanyak RM238,000 telah dibelanjakan untuk inisiatif 5 meter padu air percuma, yang mula dilaksanakan pada 1 Ogos 2018.

“LAP juga telah membelanjakan sebanyak RM1.92 juta, bagi program penurunan tariff air melalui pemberian diskaun kepada semua pengguna domestik,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, Ahmad Faizal turut mengumumkan pelantikan tiga ahli lembaga LAP yang baharu yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Dr Muhd Fadhil Nuruddin serta ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");