Berita Hari Ini

Kami Hanya Perhiasan Bagi Kerajaan BN, Kata Suhakam

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendakwa mereka sekadar “perhiasan” bagi kerajaan terdahulu untuk mengaburi mata dunia kerana pemimpin Barisan Nasional tidak pernah mengadakan perbincangan atau bekerjasama dengannya.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail mendakwa timbalan perdana menteri mahupun menteri daripada pentadbiran terdahulu, tidak pernah menemui suruhanjaya itu untuk membincangkan isu berkaitan hak asasi manusia.

“Saya dah lama jadi pengerusi Suhakam. Selama 3 tahun, kami mahu cuba berjumpa dengan timbalan perdana menteri, tetapi dalam tempoh itu dia tidak pernah jumpa kami.

“Sukar nak tengok kalau ada menteri yang sedia untuk bercakap, dan di negara ini pula apa-apa sahaja perlu datang dari pihak atasan (kerajaan). Kalau menteri tak boleh jumpa, ketua setiausaha boleh ganti.

“Jadi, bagaimana kamu boleh mewakili aspirasi dan cuba meningkatkan kualiti masyarakat, jika kamu tidak melihat kami,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 di Padang Timur hari ini.

Beliau berkata, keadaan berbeza apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negara kerana mereka dilihat lebih terbuka dan sedia berbincang dengan pihaknya.

Katanya, kerajaan PH dilihat lebih bersungguh-sungguh menjaga hak asasi manusia, walaupun ia menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Kerajaan dulu banyak protokol. Kerajaan sekarang, mereka cuba nak bantu, contohnya isu kemiskinan di sekolah, kita kena lihat banyak aspek. Bahkan mereka juga dah terima pelbagai perkara dalam aspek kebebasan sivil dan politik.”

Sementara itu, Razali berkata, Suhakam akan terus menasihati kerajaan untuk meratifikasi baki 6 triti antarabangsa berkaitan hak asasi manusia, termasuk ICERD.

Katanya, ketidakhadiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke sambutan hari ini secara tidak langsung sudah membantu pihaknya.

“Sebab beliau tiada di sini, orang ramai tiba-tiba lebih berminat, jadi mereka datang.”

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau tidak akan menghadiri sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 hari ini kerana pendirian Suhakam bertentangan dengan keputusan kerajaan menolak ICERD.

“Saya dah putuskan yang kita (kerajaan) tidak akan menerima ICERD, tetapi Suhakam mahu menerima ICERD, jadi takkan saya nak pergi?” kata Dr Mahathir semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");