Perak Hari Ini

Keadaan Adib Semakin Baik

KUALA LUMPUR: Pemeriksaan perubatan terhadap paru-paru Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, anggota bomba yang parah dipukul dalam insiden di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, awal pagi Selasa lalu, menunjukkan organ dalaman itu semakin baik.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohamad Hamdan Wahid, berkata pihak hospital menjalankan proses ‘bronchoscopy’ iaitu memasukkan kamera melalui mulut untuk melihat keadaan paru-paru Muhammad Adib.

“Saya difahamkan pihak hospital menjalankan proses ‘bronchoscopy’ malam tadi dan hasilnya menunjukkan paru-paru Adib semakin baik.

“Pihak hospital juga memaklumkan tahap oksigen juga memuaskan, selain keadaan buah pinggang Adib menunjukkan perkembangan positif.

“Secara keseluruhannya keadaan Adib semakin baik dan kami mendoakannya semoga cepat sembuh,” katanya yang meluangkan masa melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bilangan pelawat dan ruang untuk melawat Muhammad Adib terpaksa dihadkan bagi mengelakkan jangkitan terhadap anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu selain untuk tujuan keselamatan.

“Ketika ini Adib sudah sedar dan memberikan respon, namun ditidurkan untuknya berehat. Bilangan serta ruang pelawat terpaksa dihadkan untuk mempercepatkan proses pemulihan,” katanya.

Semalam keadaan Muhammad Adib dilaporkan mula sedar dan faham arahan yang diberikan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Azhari Yakub dilaporkan berkata, keadaan Muhammad Adib masih dikategorikan sebagai kritikal namun stabil.

Dalam kejadian pada awal pagi Selasa lalu, Muhammad Adib anggota Unit EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dipukul dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");