Perak Hari Ini

Kebebasan Bersuara Perwakilan Antara Agenda Mereformasikan Dewan Belia Perak

IPOH: Kerajaan Perak sentiasa berusaha menjalankan agenda reformasi kepada golongan belia dan ia termasuk kepada struktur perjalanan Dewan Belia Perak pada kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How, berkata, antara langkah dalam mereformasikan Dewan Belia Perak ialah memberi kebebasan bersuara kepada para perwakilan.

Ujarnya, dengan pembubaran tujuh jawatankuasa seperti amalan sebelum ini telah membuktikan bahawa kerajaan negeri serius terhadap usaha tersebut.

Katanya lagi, segala ketetapan yang dibuat untuk persidangan Dewan Belia Perak kali ini juga adalah datang daripada suara-suara perwakilan yang mahukan penambahbaikan perjalanan dewan.

“Sebelum ini, banyak usul yang dibentangkan dan diluluskan, kurang diambil perhatian. Adanya unsur-unsur sekatan terhadap kebebasan bersuara memungkinkan perkara sedemikian berlaku.

“Namun, dengan agenda reformasi yang membubarkan jawatankuasa-jawatankuasa yang dibuat sebelum ini, yang mana dengan jawatankuasa tersebut telah menghadkan suara perwakilan.

“Kini, mereka bebas berhujah. Boleh sampaikan apa saja pandangan berdasarkan kepada pengalaman mahupun latar belakang akademik mereka,” katanya.

Selain itu, ujar Howard, antara ciri-ciri ataupun nilai penting dalam aspek penghujahan ujul yang harus diambil kira kepada para perwakilan ialah keberkesanan, mampu membawa suara belia serta realistik.

Dalam pada itu, katanya beliau akan mengusulkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) supaya dapat diwujudkan ‘Exco kerajaan negeri cerminan’ dalam kalangan 60 perwakilan Dewan Belia pada masa akan datang.

Tambahnya, dengan segala usaha mereformasikan Dewan Belia Perak ini diharap ia mampu menjadi contoh kepada Dewan Belia di negeri-negeri lain serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sendiri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Belia Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Antara yang turut hadir, Timbalan Speaker DUN Perak, Aminuddin Zulkipli; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aspirasi Anak Perak (PASAK), Jim Khong serta Speaker Dewan Belia Perak, Teoh Yee Chern.

Pada persidangan yang berlangsung selama dua hari itu, sebanyak 15 usul akan dibentangkan.

Antara usul-usul tersebut turut menyentuh perkara seperti pembangunan ekonomi belia di semua daerah, pembangunan sukan Orang Kelainan Upaya (OKU), pemerkasaan rumah ibadat sebagai pusat belia serta pendidikan anak-anak gelandangan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");