shadow

KUCHING: Insiden letupan sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah CityONE Megamall, di sini kelmarin dipercayai berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LPG) jenis butane.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman, berkata penemuan itu hasil siasatan awal pakar forensik kebakaran dari Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya di lokasi kejadian.

“Berdasarkan sampel diperoleh dari lokasi kejadian untuk tujuan ujian makmal dan pengesahan, ia menunjukkan ciri-ciri (gas) yang sama (LPG).

“Ini banyak digunakan dalam sektor komersil kerana lebih menjimatkan bagi kegunaan jangka panjang. Ia berbeza dengan dengan jenis LPG di rumah, khusus bagi kegunaan domestik yang membabitkan campuran butane dan propane,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang Selasa lalu, tiga pekerja terbunuh selepas dihempap runtuhan dinding dan siling sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah terkenal di Bandaraya Kuching, berpunca dari letupan gas.

Kejadian turut mencederakan 41 mangsa lain, dengan kebanyakannya adalah orang awam yang juga pengunjung pusat beli belah berkenaan.

Insiden turut menyebabkan beberapa premis perniagaan berhampiran mengalami kerosakan akibat impak letupan.

Sehingga semalam, kompleks komersil berkenaan masih ditutup kepada orang awam atas faktor keselamatan, selain memberi ruang kepad proses siasatan dan pembersihan sisa runtuhan.

Khirudin ketika mengulas lanjut, berjaya jenis sampel gas yang diperoleh dari lokasi kejadian memiliki ciri lebih ringan, tidak berwarna dan tidak berbau.

“Ia memiliki aras letupan yang rendah, malah kebocoran juga sukar disedari sehinggalah ketumpatannya cukup untuk menghasilkan ledakan (letupan) bila terdapat percikan (api),” katanya.

Sementara itu, Khirudin berkata, pihaknya sedang dalam proses merekodkan keterangan saksi bertujuan melengkapkan laporan insiden berkenaan lapor NSTP.

“Ini mungkin mengambil sedikit masa kerana saksi utama, yang paling hampir dengan lokasi kejadian ketika letupan berlaku masih dalam keadaan kritikal dan diletakkan di bawah pengawasan rapi.

“Proses mendapatkan keterangan lanjut daripada saksi berkenaan akan dilakukan sejurus keadaan mengizinkan,” katanya.

Komen & Pendapat