shadow

KUALA LUMPUR – MCA tidak perlu menghina kempimpinan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO, sebaliknya mereka boleh terus keluar dari BN tanpa perlu membawa usul untuk membubarkan parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kepimpinan MCA tidak perlu mengguna BN sebagai tempat untuk melepaskan geram melalui serangan yang berterusan.

“Tidak perlu untuk berterusan menyerang BN. MCA sepatutnya tahu pintu keluar tanpa perlu mengemukakan usul untuk membubarkan BN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini, sebagaimana dilaporkan Utusan Online.

Katanya, isu yang dibangkitkan MCA itu merupakan langkah terdesak untuk menunjukkan strategi politik ala gung-ho mereka tanpa memberi apa-apa momentum.

MCA kata Reezal Merican, sepatutnya lebih matang dalam usaha politik mereka dan sebarang isu berkaitan BN perlu dibincangkan di Dewan Tertinggi BN.

“Ini merupakan perlembagaan BN. Kenapa perlu ada usul untuk membubarkan BN,” tanya beliau.

Beliau melihat perkara ini sebagai usaha untuk memalukan dan menghina Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO.

“Helah politik MCA yang memualkan ini perlu dihentikan segera. Kemaskan beg dan sila keluar. Tidak perlu hendak berdrama,” tegasnya.

Komen & Pendapat