Sukan Hari Ini

Kena ‘Melabur’ Untuk Cheng Hoe – Serbegeth Singh

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berpendapat Tan Cheng Hoe perlu dikekalkan untuk membimbing Harimau Malaya namun dengan syarat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bersedia membuat pelaburan ke atas pengendali itu.

Beliau berkata, FAM perlu menyediakan perancangan untuk meningkatkan kebolehan Cheng Hoe termasuk menghantar jurulatih berusia 50 tahun itu berguru di luar negara.

“Pada pendapat saya, berdasarkan pencapaian di Piala AFF, Cheng Hoe harus dikekalkan. Ini bukan kerana skuad Harimau Malaya mencapai sasaran layak ke final tapi saya melihat motivasi tinggi pemain dan keharmonian yang berjaya dipupuk pengendali itu dalam pasukan.

“Dan jika FAM mahu menawarkan kontrak baharu, FAM perlu bersedia untuk melabur ke atasnya, maksudnya di sini adalah menambah ilmu jurulatih itu dengan menghantarnya menyertai kursus atau latihan dengan pasukan di luar negara.

“Saya yakin dengan pelaburan itu akan membantu Cheng Hoe menyediakan pasukan lebih baik pada masa akan datang,” kata Serbegeth sebagaimana dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Kedudukan Cheng Hoe belum diputuskan oleh FAM meskipun kontrak bekas pengendali Kedah itu bakal berakhir hujung bulan ini.

Terdahulu beliau dilantik sebagai penolong jurulatih, Nelo Vingada sebelum mengambil alih tugas pengendali kelahiran Portugal itu pada Disember tahun lalu.

Sepanjang membimbing Harimau Malaya, Cheng Hoe berjaya mencatat lapan kali kemenangan, kalah (5), seri (3) serta memperbaiki kedudukan ranking ke-174 kepada 167 dunia.

Menurut Serbegeth, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki Cheng Hoe dalam pasukan itu selepas tewas 2-3 di tangan Vietnam pada final Piala AFF 2018.

“Pada saya, Cheng Hoe perlu ada dua cara permainan, kita tidak boleh main ‘satu lagu’ saja. Bila satu cara tak boleh, kita boleh tukar cara lain untuk mengatasi lawan.

“Selain itu, beliau perlu menambah senarai pemain untuk memastikan lebih ramai pilihan pemain yang boleh bersaing dalam kesebelasan utama,” katanya yang kini menjadi pengkritik di televisyen antarabangsa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");