Perak Hari Ini

Kenyataan P Ramasamy Tidak Berasas, ‘Double Standard’ – Armada Bersatu Perak

IPOH: Armada Bersatu Perak menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P Ramasamy yang mendesak supaya Ketua Armada Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikenakan tindakan kerana dikatakan telah menghina Perdana Menteri adalah sesuatu yang melampau dan tidak berasas.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, sebarang tindakan berbentuk penyerahan memo bukanlah sesuatu yang melambangkan rasa tidak hormat sebaliknya, ia adalah suatu tindakan untuk menyampaikan sebarang cadangan ataupun permintaan kepada pihak yang sewajarnya.

Jelasnya, penyerahan memo kepada Tun Dr Mahathir Mohamed yang menggesa supaya Menteri Perpaduan, P. Waytha Moorthy meletakkan jawatan adalah bertujuan untuk menzahirkan pendirian Armada Bersatu Nasional kepada Perdana Menteri.

“Pastinya Armada Bersatu menaruh harapan tinggi agar permintaan ini menjadi kenyataan namun jika sebaliknya, Armada Bersatu tetap akur dan patuh akan sebarang keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu, tambah Mohd Hafez, kritikan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP kepada Syed Saddiq itu juga dilihat tidak adil ataupun ‘double standard’ tatkala Wong Kah Woh yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) pada Julai lalu mengecam keputusan Perdana Menteri dalam mengatur senarai kabinet secara terbuka.

“Mengapa pada ketika itu, P Ramasamy tidak bersuara dan mendesak kepimpinan parti Yang Berhormat untuk mengambil tindakan berhubung perbuatan ini?

“Tidakkah P Ramasamy beranggapan bahawa perbuatan itu telah ‘menghina’ kebijaksanaan Perdana Menteri dalam membuat keputusan?,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Mohd Hafez, Ramasamy seharusnya berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan.

Jelasnya, semua pihak di dalam parti komponen Pakatan Harapan seharusnya bertanggungjawab dalam memelihara hubungan kuat sesama parti selain harus terus menggalas amanah yang diberikan rakyat dengan sebaiknya.

Terdahulu, media melaporkan Ramasamy berpendirian tindakan meminta Waytha Moorthy meletakkan jawatan adalah dilihat sebagai suatu penghinaan terhadap Perdana Menteri kerana Dr. Mahathir sendiri yang melantik Waytha Moorthy bagi jawatan tersebut.

Difahamkan, beberapa pemimpin Armada telah bertemu Dr. Mahathir di pejabatnya sebelum mesyuarat Kabinet pagi kelmarin, bagi menyerahkan memorandum menuntut peletakan jawatan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu.

Memorandum itu juga difahamkan supaya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy yang didakwa telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Selain Syed Saddiq, turut kelihatan di dalam gambar yang tersebar itu ialah Ketua Penerangan, Ulya Aqamah Husamudin dan Exco Pendidikan, Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");