Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Rancang Luaskan Fungsi Institusi Wanita Kepada OKU, Warga Emas

IPOH: Menjelang 2019, Kerajaan Perak bakal menubuhkan sebuah institusi khas untuk membantu dalam merencana agenda pembangunan wanita di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata, institusi tersebut juga tidak hanya terhad kepada golongan wanita malah akan diperluaskan bagi membantu membangunkan golongan sasar.

Katanya, penubuhan institusi tersebut dilihat suatu keperluan kerana setakat ini, beliau tidak mempunyai suatu agensi kerajaan negeri di bawah portfolio beliau yang mampu memberi fokus terhadap agenda pembangunan kepada semua golongan tersebut.

Jelasnya lagi, selain menjadi penggerak kepada pembangunan untuk golongan yang memerlukan, institusi wanita itu juga akan menyediakan platform latihan dalam memastikan kebajikan mereka terus terbela.

“Kakitangan saya tidak cukup. Jadi dengan adanya institusi ini kita akan mampu memberi lebih fokus kepada program pembangunan mereka. Ia termasuk penyediaan kursus latihan dan peluang kerjaya profesional.

“Misalnya, pada masa kini, jumlah warga emas di Perak adalah yang tertinggi di Malaysia dan ini adalah cabaran bagi kita untuk kita turut sama wujudkan peluang kerjaya untuk menjaga warga emas.

“Dengan adanya program ini, kita tidak lagi bergantung kepada tenaga asing semata-mata. Program ini juga dilihat mampu menyelesaikan masalah kekangan jumlah kakitangan di rumah-rumah kebajikan warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyampaian geran bantuan kepada 50 badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dengan wanita dan kesihatan Perak di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini.

Jumlah kesemua peruntukan yang disalurkan kerajaan negeri itu bernilai RM150,000.

Ketika berucap pada majlis berkenaan, May Ing berkata, pada bulan lalu, kerajaan negeri juga telah menyampaikan geran bantuan kepada beberapa NGO anak-anak yatim dan OKU.

Katanya lagi, bersandarkan dengan tema ‘Pembangunan dan Kesedaran Kepada Masyarakat’, pejabat di bawah portfolio beliau akan menjalankan beberapa program kesedaran untuk masyarakat pada tahun hadapan.

Ia termasuk program untuk golongan wanita pada bulan Mac, program anti dadah pada bulan Jun dan program kesedaran tentang nasib OKU pada bulan Disember 2019.

Beliau juga sedang merancang untuk memperluaskan lagi program saringan kesihatan khususnya yang melibatkan golongan wanita di kawasan luar bandar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");