Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Serius Bantu Orang Asli: ADUN Malim Nawar Pertahankan MB

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kononnya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah melabelkan masyarakat Orang Asli sebagai golongan yang sering meminta-minta bantuan.

Beliau tampil memberi penjelasan berhubung kenyataan daripada sekumpulan aktivis dan masyarakat orang Asli yang menggesa permohonan maaf daripada Menteri Besar kepada mereka kerana dikatakan kenyataan Ahmad Faizal telah mengguriskan hati mereka.

Cheok Keng yang juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa DAP Perak berkata kerajaan negeri yang dipimpin Ahmad Faizal daripada awal lagi telah menyatakan komitmen untuk membela nasib Orang Asli serta sentiasa berusaha untuk mencari kaedah baharu bagi meningkatkan kualiti hidup mereka.

Jelasnya, Menteri Besar telah pun memulakan langkah dengan mengarahkan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan-badan korporat lain untuk menjadikan penempatan-penempatan Orang Asli sebagai kampung angkat.

Ujarnya, langkah tersebut merupakan sebahagian hasrat kerajaan negeri dalam memberi lebih fokus kepada pembangunan kawasan-kawasan tersebut.

“Apa yang Ahmad Faizal maksudkan dengan program bantuan terpilih adalah beliau mahukan mereka menjadi lebih proaktif dengan memulakan perniagaan yang sesuai dengan persekitaran mereka terlebih dahulu.

“Sebagai contoh, beliau memuji komuniti Orang Asli di Kuala Mu yang memulakan perkhidmatan chalet. Dalam mengiktiraf inisiatif mereka, beliau berkata kerajaan negeri ‘lebih daripada bersedia’ untuk membantu mereka bagi memajukan lagi perniagaan berkenaan.

“Menteri Besar menyeru komuniti Orang Asli yang lain untuk mengambil contoh tersebut.

“Saya melihat bahawa Menteri Besar percaya jika mahu membantu mereka, adalah lebih baik mengajar mereka bagaimana memancing berbanding memberikan ikan kepada mereka,” katanya menerusi satu kenyataan dalam portal MalaysiaKini, hari ini.

Selain itu ujarnya, tiada sebarang keperluan untuk Menteri Besar mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada mana-mana pihak.

Katanya, ia kerana apa yang disebut Ahmad Faizal adalah sesuatu yang benar dan berani selain beliau tidak menolak kemungkinan kenyataan Menteri Besar telah disalah tafsir.

Jelasnya, kenyataan Ahmad Faizal berhubung perkara tersebut merupakan sebahagian daripada ucapan dalam satu majlis makan malam bersama-sama Tok Batin di seluruh negeri pada November lalu yang mana Cheok Keng sendiri turut berada dalam majlis tersebut.

Dalam pada itu, Cheok Keng berkata, kerajaan negeri yang dipimpin pentadbiran baharu ini juga sedang mengkaji program-program bantuan kepada masyarakat Orang Asli yang masih gagal membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Katanya lagi, kerajaan negeri benar-benar sedang berusaha membantu mereka dan tidak hanya memandang mereka sebagai ‘deposit tetap’ pada setiap Pilihanraya Umum seperti yang diamalkan pentadbiran lama.

“Walaupun dalam majlis itu beliau tidak menyebut secara terang-terangan, tetapi saya percaya beliau merujuk kepada para pemimpin terdahulu, yang kebanyakan daripada mereka yang memandang Orang Asli tidak lebih daripada “undi” berbanding menghormati mereka sebagai masyarakat sebenar.

“Justeru, beliau berkata bantuan dan program-program yang digerakkan oleh kerajaan terdahulu bagi membantu Orang Asli perlu dikaji semula kerana terbukti ia masih tidak memadai atau tidak efektif. Masakan tidak, Orang Asli masih terperangkap dalam kitaran kemiskinan sehingga hari ini,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");