Berita Hari Ini

Kertas Siasatan Kes Azwanddin Diserah Pada Pendakwa Raya

Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia Datuk Azwanddin Hamzah yang direman sejak Khamis lepas telah dibebaskan semalam dan polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata Azwanddin dibebaskan pada tengah hari semalam dengan jaminan polis.

Polis sedang menunggu arahan seterusnya daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya, katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Khamis lepas, Mahkamah Majistret Klang mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari terhadap Azwanddin bagi membantu siasatan menurut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Pada perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni, Klang Selasa lepas, Azwanddin dalam ucapannya mengeluarkan kenyataan provokasi antara lain mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang terlibat dalam kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Muhammad Adib yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara, selepas bertarung nyawa kira-kira tiga minggu susulan kecederaan parah yang dialami akibat diserang kumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lepas.

Sementara itu, peguam Azwanddin, Imran Tamrin ketika dihubungi berkata anak guamnya dibebaskan semalam pada kira-kira 1.15 tengah hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

“Kini kami masih menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung kes melibatkan Azwanddin,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");