Perak Hari Ini

KKM Nafi Tindakan Pihak Dakwa Wakil Kementerian, Jual Papan Tanda Larangan Merokok

IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan sebarang tindakan daripada pihak yang mendakwa mereka mewakili kementerian atau mana-mana agensi yang bertindak menjual papan tanda larangan merokok kepada premis makanan di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata semua pihak dikehendaki berwaspada jika berhadapan dengan individu terbabit.

Jelasnya, semua pengusaha perniagaan restoran makanan bebas untuk mendapatkan papan tanda larangan rokok daripada mana-mana pihak ataupun membuat sendiri papan tanda berkenan, tanpa menuntut sebarang kos daripada KKM.

Tambah Boon Chye, sekiranya terdapat bukti kukuh, KKM tidak teragak-agak untuk mengenakan sebarang tindakan kepada mereka yang menyalahgunakan nama kementerian ataupun mendakwa diri mereka adalah wakil daripada KKM.

“Saya diberitahu ada yang mendakwa mereka adalah wakil daripada KKM dan menjual papan tanda larangan merokok di restoran-restoran.

“Saya mahu jelaskan KKM tiada wakil yang menjual papan tanda berkenaan. KKM pun tidak menjualnya. Tetapi, jika sesiapa mahu mereka sendiri papan tanda larangan merokok, memang dibenarkan.

“Ukuran standard papan tanda berkenaan ialah 40X50 cm. Namun tiada sebarang masalah jika ukurannya sedikit kecil. Asalkan papan tanda larangan merokok itu ada di premis makanan mereka,” katanya.

Selain itu, kata beliau, KKM tidak meletakkan syarat tertentu terhadap rekaan papan tanda larangan merokok asalkan logo larangan merokok itu jelas kelihatan.

“Boleh tambah bahasa selain daripada Bahasa Melayu sama ada Bahasa Inggeris, Tamil atau Mandrin. Boleh juga jika merka mahu meletakkan logo KKM atau Pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau juga menasihatkan kepada para pengusaha restoran ataupun gerai makanan untuk mempamerkan papan tanda tersebut di lokasi yang mudah dilihat pelanggan.

Malah jelasnya, cukup hanya satu papan tanda larangan merokok sahaja untuk satu premis makanan.

“Pengusaha yang didapati gagal berbuat demikian akan dikenakan denda sehingga RM3,000, maksimum,” katanya.

Boon Chye berkata demikian ketika ditemui pada program gotong-royong membanteras wabak denggi di Taman Rasa Sayang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How dan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria.

Perluasan kawasan larangan merokok kepada premis makanan sama ada yang berbumbung ataupun gerai makanan yang tidak berbumbung akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019.

Mana-mana pelanggan yang didapati melanggar peraturan berkenaan boleh dikenakan kompaun sehingga RM10,000.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");