Panasnya Hari Ini

Lebih Elok MCA Berundur Daripada BN – Mohamad Hasan

SEREMBAN: MCA sepatutnya memutuskan keluar daripada Barisan Nasional (BN), bukan membuat resolusi membubarkan gabungan berkenaan kerana parti itu tidak mempunyai locus standi atau hak untuk berbuat demikian.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata jika MCA berpendapat tiada lagi keperluan untuk bersama BN, lebih baik mereka yang mengundurkan diri.

“Tidak ada keperluan untuk MCA membuat resolusi itu, sepatutnya mereka yang undur diri seperti GERAKAN dan bekas parti komponen BN di Sarawak.

“Lebih senang dan lebih tertib untuk mereka undur diri daripada minta BN dibubarkan. Kita memang jangka MCA akan keluar BN, tapi tidak jangka mereka buat resolusi untuk bubar BN,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, perwakilan pada Perhimpunan Agung MCA Ke-65 sebulat suara memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat (CC) untuk memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata untuk tujuan itu, CC parti terbabit akan memulakan proses dengan mengemukakan cadangan berkaitan resolusi pembubaran berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, UMNO dan parti komponen lain tidak akan membubarkan BN buat masa ini kerana gabungan itu masih diperlukan, malah kepemimpinan sedang berusaha untuk menjenamakan semula BN.

Mohamad berkata, berdasarkan pertemuan dengan kepemimpinan baharu MCA baru-baru ini, parti itu membayangkan untuk tidak lagi bersama BN.

“Kita tegaskan, mereka perlu mendapatkan mandat daripada perwakilan pada Perhimpunan Agung MCA.

Nampaknya, keputusan sudah dibuat, tapi keputusan itu tak cantik, tak molek dan di luar konteks.

“Lebih baik MCA beri tumpuan kepada parti itu sendiri dan buat keputusan undur diri daripada BN,” katanya.

Ditanya sama ada beliau atau pemimpin BN yang lain akan bertemu dengan kepemimpinan MCA, Mohamad berkata, perkara itu terpulang kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz lapor NSTP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");