Perak Hari Ini

Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Tanda Solidariti Buat Muhammad Adib

IPOH: Sebagai tanda solidariti serta semangat berpasukan buat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengadakan majlis solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil di Ibu Pejabat JBPM negeri, di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, ia turut diadakan bagi mendoakan kesejahteraan roh anggota bomba, yang terkenal dengan kemahiran menjinak dan menangkap ular, Allahyarham Abu Zarin Hussin serta enam anggota bomba yang terkorban ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Puchong pada Oktober lalu.

Katanya, kesemua anggota yang terkorban itu merupakan suatu kehilangan besar buat JBPM negeri.

Beliau juga turut menzahirkan rasa dukacita terhadap semua tragedi yang menimpa JBPM pada sepanjang tahun ini.

“Majlis hari ini juga kita adakan sebagai mendoakan kesejahteraan rakan-rakan kita yang sedang berada dalam jabatan untuk tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

“Ia juga diadakan bagi kita sama-sama mengingati tragedi-tragedi besar yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

“Ini menunjukkan bahawa JBPM kini sedang mengalami satu perubahan dari segi corak cabaran yang kita hadapi. Cabaran yang tidak dijangka sehingga boleh meragut nyawa anggota kami,” katanya.

Selain itu, beliau berharap majlis yang diadakan juga mampu membangkitkan lagi semangat berpasukan dalam setiap jiwa para anggota bomba tatkala sedang menjalankan tugas.

Tambahnya, walau apa juga bentuk cabaran yang bakal dihadapi, JBPM akan tetap berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil di sini, selesai.

Hadir sama, Komander Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Utara, Tronoh, Mohd Rizal Buang.

Terdahulu, pada majlis yang dihadiri sekitar 100 anggota itu dimulakan dengan solat Zohor secara berjemaah.

Ia kemudiannya diteruskan dengan majlis solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil buat Muhammad Adib, 24, serta 7 anggota bomba yang telah terkorban pada sepanjang tahun ini.

Sebelum ini media melaporkan, Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN), pada Ahad.

Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang perusuh susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");