Membawang Hari Ini

Malu Ditampar Farid Kamil Ketika Berpakaian Seragam Polis

PETALING JAYA : Seorang anggota polis trafik hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini dirinya rasa dimalukan oleh pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari, yang secara tiba-tiba bertindak agresif sebelum menampar pipinya ketika sedang bertugas dan berpakaian seragam.

Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 petang pada 11 November lalu di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini, ketika beliau bertugas dan kejadian itu dilihat oleh beberapa orang awam yang mahu membuat laporan polis.

“Selain malu kerana ditampar Farid di hadapan beberapa orang, pipi saya juga sakit dan pedih,” katanya ketika sesi pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, pada hari ketiga kes perbicaraan Farid hari ini.

Menceritakan semula kejadian, Muhammad Nizam berkata, sebelum itu seorang lelaki, Ashraf Ahmad, yang juga saksi pertama pendakwaan kes itu, membawa Farid ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan polis kerana kemalangan.

ALIA : Boleh kamu ceritakan apa yang berlaku selepas itu?

MUHAMMAD NIZAM : Saya suruh tertuduh duduk dan bertanya adakah beliau terbabit kemalangan, namun tertuduh sebaliknya menunjukkan telefon bimbit miliknya kepada saya.

ALIA: Apakah yang tertuduh tunjuk?

MUHAMMAD NIZAM: Tertuduh tunjuk artikel ‘300 artis meminjam Ah Long kerana tiada pekerjaan’. Kemudian, saya bertanya kepada tertuduh adakah dia ingin membuat laporan mengenai artikel ini.

ALIA : Kemudian?

MUHAMMAD NIZAM: Tertuduh menyoal saya semula adakah artikel itu betul dan saya menjawab yang saya tidak tahu.. tidak pasti.

ALIA: Seterusnya, apa yang berlaku?

MUHAMMAD NIZAM: Saya bertanya tertuduh kembali adakah dia terbabit dalam kemalangan dan sekali lagi dia menunjukkan artikel sama.

Berikutan kejadian itu, Muhammad Nizam mencadangkan Farid untuk melaporkan kes jenayah di balai polis berhampiran yang lebih arif dan tahu mengenai kes jenayah.

Namun, Muhammad Nizam berkata, Farid terus berdiri dan menjerit ‘adakah hang tau aku sapa?’, bagaimanapun sebelum dia sempat menjawab, tertuduh memberitahu sendiri ‘Aku Datuk Farid Kamil’.

ALIA: Kemudian?

MUHAMMAD NIZAM: Ahsraf yang membawanya telah menenangkan tertuduh supaya tidak membuat kecoh dan terjerit-jerit di balai polis.

ALIA: Kamu ingat apa yang Ashraf cakap pada tertuduh?

MUHAMMAD NIZAM: Tertuduh kata, ‘Farid, kau tidak boleh jerit dan tinggikan suara dalam balai’ dan selepas itu, tertuduh terus menampar Ashraf.

ALIA : Kemudian?

MUHAMMAD NIZAM: Saya bangun dari meja kaunter dan pergi kepada tertuduh dan saya telah tenangkannya dengan berkata ‘Datuk tidak boleh buat seperti ini, tidak boleh pukul orang awam’.

ALIA : Seterusnya?

MUHAMMAD NIZAM: Tertuduh sekali lagi bertanya saya, ‘adakah hang tau aku sapa?’. Saya jawab, ‘ya, saya tahu Datuk Farid Kamil’ dan sekali dia bertanya kepada saya soalan sama sebelum terus bertindak menampar saya menggunakan tangan kanannya.

Menurut Muhammad Nizam, berikutan keadaan Farid yang agresif ketika itu memaksanya untuk menggari tertuduh, namun fizikal Farid yang besar dan lebih tinggi darinya menyukarkan beliau untuk berbuat demikian.

“Beberapa kali saya mencuba untuk menggarinya tetapi tidak berjaya, namun selepas dibantu Ashraf dan seorang lagi orang awam yang berada di dalam balai, Farid akhirnya digari dalam keadaan meniarap,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung esok.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");