Berita Hari Ini

‘Mana Boleh Angkat Sumpah Guna Sidang Video’

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat akan mengeluarkan surat ingatan terakhir kepada Yamani Hafez Musa untuk hadir mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Sipitang sebelum sidang berakhir, 11 Disember ini.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff, mengesahkan anak bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, itu belum menjawab beberapa suratnya berhubung perkara itu.

“Saya tak tahu dia di mana. Saya dah tulis surat kepada dia, beri beberapa tarikh sesuai untuk dia tapi terpulang kepada Sipitang.

“Kita akan keluarkan satu lagi reminder (surat peringatan) terakhir sebelum habis bersidang atau mungkin surat itu sudah keluar (dihantar).

“Apa yang susah sangat untuk balik ke Malaysia ketika Parlimen bersidang untuk angkat sumpah?

“Dulu dia minta angkat sumpah melalui sidang video… mana ada peraturan sebegitu. Tak boleh, mesti hadir di Dewan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan Parlimen, hari ini, lapor BH Online.

Pada 16 Julai lalu, Yamani Hafez gagal hadir di Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah.

Berdasarkan Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen yang gagal mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan mulai dari tarikh Dewan Rakyat mula bersidang, akan hilang kelayakan.

Ia bermakna Yamani Hafez, 39, yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Sabah, mempunyai tempoh sehingga Januari depan untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Ditanya jawapan diberi Yamani Hafez terhadap surat yang dikeluarkan sebelum ini, Mohamad Ariff berkata, tiada balasan diterima daripada surat yang dihantar.

“Tak ada jawapan setakat yang saya tahu. Saya harap Sipitang dapat datang dan angkat sumpah sebagai YB (Yang Berhormat) yang bertanggungjawab,” katanya.

Jika Yamani Hafez gagal mengangkat sumpah, beliau berkata, kekosongan kerusi Parlimen Sipitang akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diadakan pilihan raya kecil (PRK).

Pada 16 Julai lalu, seramai 220 daripada 222 Ahli Parlimen mengangkat sumpah jawatan mereka di Dewan Rakyat pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14.

Dua Ahli Parlimen yang tidak hadir adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yamani Hafez.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh pada 14 Ogos lalu.

Muhyiddin tidak menyertai Ahli Parlimen lain yang mengangkat sumpah pada 16 Julai lalu berikutan bercuti sakit selama sebulan.

Yamani Hafez sebelum ini dikatakan menemani Musa ke London yang dikatakan mendapatkan rawatan di sana.

Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Ke-14 bersidang sehingga 11 Disember ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");