Jenayah

Mangsa Nafsu Serakah, Mekla Akhirnya Dibela

DUNGUN – Kisah seorang wanita kurang siuman bernama Mekla yang sering diperkatakan penduduk di Jalan Lembah, di sini kerana sering menjadi tempat melampiaskan nafsu lelaki tidak berperikemanusiaan.

Wanita malang berusia 40-an itu tinggal bersendirian di rumah usang dan kisah hidupnya yang tidak seperti masyarakat normal kerana masalah mental dihadapi membuatkan diri tidak terurus.

Kerana kelemahan dialami, Mekla beberapa kali menjadi mangsa nafsu serakah membuatkan masyarakat bukan sahaja simpati malah kurang senang dan mahu wanita itu dibela.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lembah, Ridzuan Mohamad Noor berkata, kisah kesengsaraan hidup Mekla bermula apabila tiba-tiba sahaja mendapat penyakit misteri dan pernah dimasukkan ke hospital mental.

Menurutnya, keadaan Mekla dahulu lebih teruk kerana sering mengamuk dan memukul sesiapa sahaja yang ditemui.

“Dahulu dia normal tetapi tidak tahu apa masalah menyebabkannya jadi begitu. Dia tinggal bersendirian di sebuah rumah milik keluarganya dan enggan mengikut ahli keluarga lain.

“Adik-beradik cuba ikhtiar dan membantu tetapi tidak berhasil. Tempat dia tinggal sekarang memang nampak usang tetapi dia enggan berpindah ke tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, penduduk dan masyarakat terkilan apabila ada segelintir lelaki tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan mencemar maruahnya.

“Memang ada lelaki yang mengambil kesempatan, malah pernah kami tangkap. Perkara ini sukar ditangani selagi Mekla tidak diberi perlindungan.

“Kami amat berharap agensi berkaitan termasuk Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dapat membantu,” katanya lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, pihaknya melalui agensi berkaitan akan membantu untuk mendapatkan pembelaan untuk Mekla.

“Kita akan berusaha untuk ambil tindakan bagi menghalang perkara tidak baik dalam masyarakat. Jika tiada halangan, Mekla akan ditempatkan di sebuah pusat perlindungan di bawah JKM,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");