Jenayah

Mat Rempit Dibawa Solat Subuh Berjemaah, Baca Yassin, Dengar Tazkirah

CHUKAI: Hajat 33 remaja lelaki menghabiskan malam minggu dengan berlumba haram bertukar sebaliknya apabila terpaksa menolak motosikal hampir lima kilometer selepas ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan dan Ops Khas Bersepadu Motosikal, di sini.

Mat rempit berusia belasan tahun yang ditahan itu turut dibawa menunaikan solat Subuh, membaca surah Yasin dan tahlil serta mendengar tazkirah di Masjid Sultan Ahmad, di sini.

Itu antara pengajaran kepada kumpulan remaja berkenaan selepas mereka ditahan dalam operasi yang bermula jam 8 malam semalam hingga jam 5 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata operasi dijalankan di Kilometer 119 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Rantau Petronas berhampiran pusat beli-belah yang menjadi litar lumba bagi kumpulan mat rempit.

“Ini kali kedua kita membawa penunggang motosikal yang ditahan ke masjid sebagai meneruskan pendekatan mendidik secara kerohanian yang diperkenalkan pada Julai lalu.

“Pendekatan seperti ini lebih memberi sentuhan yang mendalam supaya mereka sedar bahawa perbuatan berlumba haram ditegah agama kerana bukan sahaja membahayakan nyawa mereka, tetapi turut mengancam nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Sebelum ini, pendekatan kerohanian yang mula diperkenalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada 27 Julai lalu membawa seramai 79 mat rempit ke masjid sebelum mereka menunaikan solat Subuh berjemaah, membaca Yasin dan mendengar tazkirah.

Malah, pendekatan digunakan IPD Kemaman itu turut menjadi pujian netizen apabila gambar mat rempit yang ketika itu berada di masjid menjadi tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp selain turut mendapat pujian Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang melihat ia sebagai satu inisiatif berkesan untuk mengubah mat rempit.

Mohd Said berkata, seramai 40 individu diperiksa, manakala 37 pemeriksaan kenderaan membabitkan 34 motosikal dan tiga kereta turut dijalankan.

Katanya, daripada pemeriksaan itu, sebanyak 104 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar, tidak patuh arahan polis, melanggar lampu isyarat dan mengubah suai ekzos.

“Selain itu, kita turut menyita 34 motosikal dan menahan empat individu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan melakukan aksi berbahaya.

“Kita turut menahan dua lelaki selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Operasi berkenaan dijalankan dengan kekuatan seramai 51 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSBT) Terengganu; Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPT); Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Daerah (BPJKKD); Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND); Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD); Balai Polis (BP) Chukai; BP Ayer Jerneh dan BP Kerteh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");