Berita Hari Ini

Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Cas Telefon Bimbit

REMBAU: Remaja lelaki, 16 maut akibat terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas di rumahnya di Kampung Gaing Baru, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata mangsa, Mohd Aidi Azzhar Zahrin ditemui meninggal dunia jam 12.45 tengah hari oleh ibunya yang mendapati dia tidak sedarkan diri.

Katanya, ibu mangsa berusia 51 tahun sebelum itu keluar kediaman jam 7.45 pagi ke tempat kerja dan mendapati anaknya dalam keadaan tertiarap di lantai yang disangkanya sedang tidur.

“Sewaktu berada di tempat kerja, wanita itu berasa tidak sedap hati lalu pulang ke rumah. Sebaik tiba dia melihat keadaan anaknya dalam posisi yang sama.

“Wanita itu cuba mengejutkan anaknya namun tiada tindak balas malah keadaan badan mangsa begitu sejuk,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Anuar Bakri berkata, wanita berkenaan menghubungi klinik berdekatan sebelum pegawai perubatan yang tiba membuat pemeriksaan.

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui kesan lebam atau luka, sebaliknya pendarahan di sebelah telinga kiri.

“Ketika itu mangsa sedang memakai ‘earphone’ dan telefon bimbit miliknya yang berada bersebelahan sedang dicas. Pemeriksaan lanjut mendapati remaja itu sudah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, seorang daripada abang mangsa cuba mematikan suis elektrik sebelum menyedari terdapat kesan renjatan elektrik pada wayar berkenaan lapor NSTP.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar dan hasil bedah siasat mengesahkan remaja itu maut akibat terkena renjatan elektrik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");