TAIPING:Taman Botani Perak fasa 1 yang telah siap dibina dan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Taiping pada 16 November lalu masih belum boleh dibuka untuk kunjungan orang ramai.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Datuk Abdul Rahim Md.Arif berkata langkah penanguhan pembukaan Taman Botani Perak pada bulan Disember ini adalah untuk memastikan keselamatan kawasan taman tersebut serta mengelakkan berlaku kerosakan kepada pokok-pokok yang telah pun ditanam dikawasan seluas 15 ekar. ?
“Perbandaran Taiping telah mengadakan perbincangan dengan pihak teknikal, termasuk dengan juru perunding Taman Botani Perak dan mengambil keputusan untuk melengkapkan taman tersebut dengan pagar dan pintu pagar terlebih dahulu sebelum dibuka kepada pelawat.
“MPT sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan kewangan bagi menjayakan perancangan tersebut dan akan menganjurkan lawatan secara berjadual jika ada pihak yang berminat untuk melawat Taman Botani Perak di samping menganjurkan lawatan secara jemputan khususnya kepada warga Taiping,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Katanya setakat ini sebanyak 10,000 pokok dari 122 spesis telapun ditanam di empat buah laman yang telah siap dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM10 juta dari peruntukan Jabatan Lanskap Negara.
“Empat buah laman yang siap dibina ialah tiga laman utama iaitu Laman Melayu Perak, Laman Palmatum dan Laman Endemik Zon Utara di samping sebuah Laman Tema yang memaparkan kosep keseluruhan 13 laman yang terdapat di Taman Botani Perak.
“Di samping itu, sebuah kawasan terbuka yang dinamakan Laman Keramaian telah dibina khusus untuk penganjuran acara dan boleh menampung kira-kira 500 ke 700 orang tetamu dalam satu-satu masa,” katanya.