Berita Hari Ini

Nama Muhammad Adib Terpahat di Tugu Fallen Heroes

KUALA KUBU BHARU: Nama Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang meninggal dunia Isnin lalu susulan kecederaan parah akibat diserang perusuh, diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, di sini, semalam.

Majlis meletakkan nama Muhammad Adib itu disempurnakan oleh Komandan ABPM Wilayah Tengah, Md Ali Ismail.

Md Ali berkata, Adib adalah simbol bagi pengorbanan dan perjuangan untuk setiap anggota bomba.

“Beliau bagaikan wira kepada kami yang berjuang hingga ke akhir nyawa. Justeru itu, nama Adib sentiasa terpahat di hati semua rakyat Malaysia terutama kami yang menyarung uniform yang sama dengan beliau.

“Tugu peringatan ini juga menjadi tanda ingatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Akademi bahawa jasa mereka yang terkorban sentiasa dikenang selamanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Tugu berkenaan mengabadikan senarai anggota bomba dan penyelamat dari seluruh negara yang terkorban ketika berkhidmat.

Sehingga hari ini, tugu peringatan itu merekodkan nama 23 anggota bomba yang terkorban ketika bertugas di seluruh negara sejak 1993 memetik laporan Berita Harian.

Beliau berkata, Muhammad Adib adalah nama yang ke-24 selepas enam anggota terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Puchong pada 3 Oktober lalu.

“Tugu peringatan ini adalah cetusan idea Ketua Pengarah JBPM, Datuk Muhamad Hamdan Wahid.

“Ia dibina oleh pelatih Kursus Diploma Sains dan Kebombaan (KDSK) Siri 1 dan dirasmikan Datuk Muhammad Hamdan ketika menyempurnakan majlis penutup kursus berkenaan pada September lalu.

“Tugu peringatan ini juga dibuka untuk kunjungan orang ramai sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada pengorbanan anggota bomba terbabit,” katanya.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM Subang Jaya cedera parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lepas.

Terdahulu, Allahyarham Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");