Perak Hari Ini
Like

Nga Kor Ming Minta Kerajaan Negeri Jual MAPS

December 3, 2018
61 Views
0 Comments
2 minutes read
Nga Kor Ming Minta Kerajaan Negeri Jual MAPS

IPOH:Adun Aulong, Nga Kor Ming tampil memberi cadangan supaya Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan bagi menjual Malaysia Animation Park Studios (MAPS) menerusi tender terbuka untuk mengurangkan kerugian ditanggung hingga kini.

Katanya selain meningkatkan pendapatan negeri kerajaan negeri perlu  memikirkan langkah mengurangkan kerugian menerusi projek MAPS yang dibina oleh kerajaan terdahulu didapati telah mengalami kerugian sebanyak RM474 juta sebelum dibuka secara rasmi.

“Kerugian daripada jumlah pelancong juga jauh meleset, kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu membentangkan maklumat bahawa dalam satu tahun dianggarkan MAPS menerima sekitar 2 juta  pengunjung namun sekarang tidak sampai 10 peratus hanya sekitar 120,000 sahaja setahun,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Katanya sememangnya tidak menjadi tanggungjawab pihak Kerajaan Negeri mengurus taman tema namun tidak sepatutnya kerajaan negeri menanggung bebanan hutang yang kian meningkat.

“Bebanan hutang bank yang meningkat merupakan satu beban besar dan pastinya akan menjejaskan usaha kerajaan negeri membantu rakyat.

“Langkah pertama adalah menjalankan siasatan audit dalaman dan pihak exco perlu membuat keputusan untuk menjualnya adalah bagaimana untuk menjualnya. Saya menghargai kerajaan negeri telah cuba sedaya upaya menyelamatkan MAPS tetapi kerugian perlu dihentikan,” katanya.

Beliau yang merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming turut memberi cadangan agar pihak berpengalaman atau pihak swasta diberikan peluang untuk menguruskan taman tema tersebut.

Kerajaan negeri terdahulu memiliki pegangan saham sebanyak 26 peratus melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), modal yang digunakan bagi membangunkan MAPS dibuat menerusi wang syarikat dan pembiayaan bank serta pegangan saham kerajaan melalui PKNP dalam Perak Corp Bhd (PCB) adalah sebanyak 52.27 peratus.

Nga Kor Ming turut memberi saranan kepada kerajaan negeri agar melaksanakan beberapa langkah bagi menambahkan pendapatan negeri antaranya seperti pembukaan tender terbuka untuk pengurusan sumber hutan dan mengaplikasikan sistem merit kepada para kontraktor kerajaan negeri yang tidak menjalankan tugasan dengan baik.

Komen & Pendapat

Comments are closed.