Perak Hari Ini

Orang Awam Risau Lihat Rekahan Bawah Jejantas HRPB

IPOH:Jangan sudah terhantuk baru terngadah. Pepatah Melayu itu membawa pengertian hanya sesudah mengalami kecelakaan barulah hendak beringat-ingat.

Situasi itu sering berlaku dalam kehidupan sehari-hari masyarakat termasuk dalam soal keadaan kemudahan awam yang disediakan.

Sejak semalam tular gambar di media sosial keadaan jejantas pengguna jalan kaki berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang ditutup bagi penggunaan pejalan kaki akibat rekahan yang berlaku pada jejantas berkenaan.

Peraktoday ke lokasi tersebut mendapati rekahan itu jelas kelihatan dan laluan jejantas telah ditutup kepada umum namun di tempat rekahan dekat tiang belum lagi ditutup dengan sebarang pelindung/jaring keselamatan.

Kelihatan orang awam terutama warga emas sukar untuk menyeberang ke hospital berikutan jalan berkenaan merupakan laluan yang sibuk tidak mengira masa.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Abdul Yunus Jamhari berkata keadaan struktur masih stabil dan keretakan hanyalah disebabkan impak secara literal dari pelanggaran sebuah lori baru-baru ini.

“Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah memaklumkan bahawa kejadian berlaku pada dua minggu lepas apabila lori pihak kontraktor Mangkubumi yang membawa jentera terlanggar struktur jejantas yang mengakibatkan struktur jejantas teranjak sedikit kehadapan dan mengakibatkan keretakan di struktur ‘pier’ dan ‘support’.

“Pihak Mangkabumi sekarang ini sedang melaksanakan kajian lanjut berkaitan struktur dan akan kemukakan laporan lengkap kaedah pembaikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Katanya kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh pihak pemaju selepas mengemukakan laporan tersebut kepada pihak MBI.

“Saya mengesa pihak terbabit segera buat pembaikan demi keselamatan orang awan dan mengelak kejadian buruk berlaku,” katanya.

Orang awam yang dapat melihat sendiri rekahan itu menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan itu kerana laluan tersebut dibawah jejambat juga adalah satu laluan kenderaan yang sibuk dan merupakan laluan utama untuk ke HRBP.

Situasi ini memerlukan perhatian pihak berkuasa kerana bimbang akan membahayakan pengguna jalan raya sekitarnya.

Menurut orang awam Sufian Bakri, pihak berwajib perlu segera mengambil tindakan kerana situasi itu membimbangkan pengguna jalan raya berkenaan.

“Mohon tindakan segera daripada pihak yang terlibat untuk mengambil langkah- langkah pencegahan sementara waktu. Orang awam meluahkan rasa resah, keluhan khuatir bimbang berlaku dahulu kejadian yang tidak diingini dan selepas itu baru tindakan diambil oleh pihak berkenaan,” katanya.

Sementara itu menurut seorang lagi orang awam, Siti Zulaikha Hassan berkata rekahan tersebut yang jelas kelihatan pastinya menimbulkan rasa tidak senang.

“Risau saya lihat rekahan itu, minta pihak berwajib segera baikinya, orang yang lalu dibawah berisiko,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");