Perak Hari Ini

Pavilion Perak Muncul Juara Kali Ke-4 Dalam MAHA 2018

IPOH: Perak berjaya muncul johan kali keempat dalam acara pavilion negeri terbaik sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor, bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri berkata, kejuaraan tersebut merupakan kejuaraan kedua Pavilion Perak yang mengetengahkan konsep seni bina Istana Kenangan.

Katanya, kali pertama konsep itu diperkenalkan pada MAHA 2014 dan Perak berjaya muncul juara pada MAHA 2016, bagi acara yang sama.

“Bangunan Pavilion Perak di MAEPS Serdang pada mulanya dibina dengan bercirikan Labu Sayong. Ianya telah diubah kepada ‘Istana Kinta’ pada tahun 2014 sehingga kini.

“Pavilion Perak ini menampilkan identiti negeri dan keunikan seni binanya pula telah menarik minat para pengunjung di MAHA 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bangunan Jabatan Penyiaran Perak di sini, hari ini.

Selain itu ujarnya, landskap-landskap yang berada di Pavilion Perak turut memaparkan identiti pelancongan negeri yang mengetengahkan suasana di Hutan Simpan Royal Belum dan Pulau Pangkor.

Tambahnya, mengikut kiraan tidak rasmi, seramai 60,000 pengunjung telah mengunjungi Pavilion Perak dan secara purata ia menerima 5,000 pengunjung sepanjang penganjuran MAHA 2018 berlangsung.

Pada masa sama, Abdul Yunus berkata, anggaran nilai jualan produk usahawan negeri dalam program tersebut melepasi sasaran RM350,00 iaitu berjumlah RM400,000.

Katanya, nilai jualan produk keusahawanan negeri pada MAHA 2016 adalah berjumlah RM250,000.

“Harapan kerajaan negeri agar kita dapat mengekalkan prestasi ini dan diharap kita dapat tampilkan kelainan pada siri-siri MAHA yang akan datang.

“Kita juga berharap agar selepas penganjuran MAHA, industri pertanian di Perak akan berkembang dengan lebih pesat.

“Ia bukan sahaja mampu menjana pendapatan penduduk malah diharap ia dapat menjadi peneraju kepada industri keselamatan makanan ataupun food security di Perak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Yunus turut berharap agar lebih ramai usahawan di negeri ini akan menyertai MAHA pada tahun hadapan kerana katanya, program tersebut merupakan platform terbaik untuk mereka meluaskan lagi jaringan pemasaran produk mereka kepada umum.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");