Perak Hari Ini

Pelajar SKM Institut Pertanian Titi Gantong Reka Alat Tabur Baja Guna Barang Terpakai

BOTA:Kesukaran untuk menabur baja pada batas lubang plastik tanaman dengan kaedah manual memberi cetusan idea baru kepada sembilan pelajar tahap tiga Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Institut Pertanian Titi Gantong (IPTG) di Bota di sini mencipta inovasi alat tabur baja menggunakan barangan terpakai.

Ciptaan kreatif itu telah dihasilkan Muhammad Mujibur Rahman Ismail, Mohamad Amir Ramadhan Salleh, Muhammad Zul Fikri Mohd Sharif, Muhammad Alif Fikri Jusoh, Muhammad Ali Imran Nek Hawari, Anedh Suphin A/L Prased, Muhammad Syafiq Ismail, Mohamad Izhar Amri Zakaria dan Mohamad Hafiz Md Saad yang masing-masing berusia 19 tahun dengan dibantu mentor, Kamarudin Atan, 38.

Ketua kumpulan berkenaan, Muhammad Mujibur Rahman berkata, peralatan yang dicipta itu dapat memudahkan kerja membaja dalam skala tanaman besar berbanding dengan cara manual yang mempunyai dua kelebihan iaitu dapat mengurangkan tenaga pekerja dan mempercepatkan kerja yang dilakukan dalam satu masa.

“Alat tabur baja ini direka dengan menggunakan barangan terpakai seperti tong air, paip Polyvinyl Chloride (PVC) dan hos saluran air mesin basuh yang sudah tidak digunakan dengan anggaran kos kurang daripada RM10 sahaja.

“Ia dicipta bagi memudahkan kerja kami di sini kerana jika menggunakan kaedah manual ia mengambil masa selain turut menyebabkan pinggang sakit kerana perlu membongkok dalam jangka masa yang agak panjang kerana kami mempunyai 4,044 pokok timun dengan keluasan tanah 0.44 hektar.

“Sebelum ini kami semua akan bergilir-gilir menabur baja bermula jam 8 hingga 12 tengah hari dan selepas menggunakan invovasi ini hanya dua pekerja sahaja yang diperlukan dan ia dapat menjimatkan kos,” katanya ketika ditemui di tapak tanaman di Kompleks Pertanian Titi Gantong, hari ini.

Katanya, mereka mengambil masa seminggu untuk menyiapkan peralatan berkenaan dengan terpaksa mengubahsuai had kuantiti pengeluaran baja supaya ia selaras dengan keperluan tanaman iaitu 10 hingga 15 gram sahaja.

“Kami mula menyertai kursus ini sejak Julai 2017, namun projek ini dimulakan Ogos lalu dan timun adalah tanaman pertama kami yang sudah 17 hari mengeluarkan hasil dengan satu hingga tiga tan sehari yang dijual RM0.80 hingga RM0.90 sekilogram pada harga borong.

“Pengurusan tanaman timun tidak sukar dan ia boleh mula dituai pada usia 35 hingga 38 hari bergantung kepada keadaan cuaca dan sehingga kini kami sudah mengeluarkan 16 tan timun membabitkan RM10,000.

“Projek ini memberikan latihan sebenar kepada kami sebagai usahawan tani bukan sahaja dengan teori tetapi dari aspek partikal seperti pengurusan tanaman, kawalan serangga perosak dan jualan termasuklah idea kreatif dalam bidang pertanian,” katanya yang memasarkan hasil tanaman timun mereka di Ipoh dan Selangor.

Katanya, mereka mengalami kerugian apabila 90 peratus daripada tanaman terjejas teruk akibat hujan lebat, malam tadi yang menumbangkan hampir keseluruhan pokok timun.

“Kami sedih melihat usaha selama ni terjejas dan kerugian kira-kira satu hingga dua tan pengeluaran hasil, namun dalam pertanian ini antara dugaan yang perlu dilalui setiap usahawan tani,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah IPTG, Rosni Hamad Rodzi berkata, pelajar berkenaan merupakan kumpulan pertama institut berkenaan dalam SKM bidang tanaman dan projek tanaman itu dibawah MyAgrosis dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Katanya, ia bertujuan untuk melatih dan melahirkan usahawan tani dalam kalangan anak muda dan mereka didedahkan dengan teknikal pertanian.

“Sebelum ini kita ada Sijil Pertanian Malaysia tapi untuk SKM ini baru diwujudkan dan bermula pada Julai 2017 dan mereka ini boleh dianggap sebagai ‘anak sulung’ kami.

“Hasilnya sangat menggalakkan dan saya terkejut dengan pencapaian mereka kerana sudah mencapai lebih apa yang sepatutnya. Tidak hanya belajar sahaja tetapi mereka ‘merasai’ sendiri dan mentor juga adalah usahawan tani yang juga peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) di sini yang memberi tunjuk ajar kepada pelajar ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");