Perak Hari Ini

Pemimpin Jangan Jadi Dalang Provokasi Kaum- Sultan Nazrin

KUALA KANGSAR:Pemimpin Negara yang diamanahkan dengan tanggungjawab hendaklah tidak menjadi dalang dengan melakukan provokasi yang boleh menyalakan puntung kebencian dan api permusuhan melibatkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah bertitah amatlah mendukacitakan sekiranya suasana harmoni dimiliki sekian lama dan budaya hidup yang diamalkan oleh majoriti rakyat di negara ini kini mahu dimusnahkan, semata-mata disebabkan persaingan politik.

Titah baginda ianya juga turut berpunca daripada sikap sebahagian pemimpin politik yang memilih bersifat riak dengan kemenangan, sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen ke-11 Universiti Sultan Azlan Shah di Dewan Jubli Perak hari ini.

“Sebaliknya pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan ILAHI secara terhormat.

“Ada negara yang menghadapi konflik hingga hancur musnah kerana perselisihan yang berpunca daripada perbezaan mazhab, ada yang disebabkan kerana berlainan agama, ada yang berkonflik kerana kelainan kaum, ada yang berpisah kerana tuntutan autonomi wilayah, dan ada yang berbunuhan kerana perbezaan ideologi politik,” titah baginda.

Titah baginda lagi, Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik namun para pemimpin terdahulu, memilih untuk tidak berkonflik dan para pemimpin yang mengasaskan negara merdeka ini, memilih untuk menerokai titik persamaan dan menyuburkan semangat bekerjasama.

“Kebijaksanaan para pengasas negara ini yang memiliki hikmah (wisdom) membangunkan sebuah negara yang rakyatnya berjaya disatukan, hendaklah terus kita pupuk, agar kita juga dapat mewariskan, sebuah negara yang aman, tenteram, harmoni lagi makmur kepada generasi akan datang,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah lagi, para graduan yang berpengetahuan disaran menggunakan pengetahuan yang dimiliki untuk menjadi warga berilmu dan berfikiran rasional.

“Warga berilmu seharusnya tidak mudah diracuni minda untuk terlibat mencetuskan persengketaan berdasarkan emosi.

“Warga berilmu yang bijak pastinya mengelakkan diri daripada diperalatkan untuk memenuhi nafsu orang-orang yang berfikiran cetek dan tidak berwawasan jauh,” titah baginda.

Pada konvokesyen hari ini seramai 1303 graduan melibatkan 15 program pengajian peringkat Diploma, 6 program peringkat Ijazah Sarjana muda, tiga program pengajian Ijazah sarjana dan satu program Ijazah Doktor Falsafah Usuluddin.

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan hal ehwal pelajar yang menjalankan tugas Naib Canselor USAS Datuk Dr.Wan Sabri Wan Yusof.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");