Perak Hari Ini

Penerbangan Air Asia Singapura-Ipoh Dilancarkan

IPOH: Selepas melakukan penerbangan sulung Johor Bahru-Ipoh-Johor Bahru pada Oktober lalu, Air Asia hari ini meluaskan laluan penerbangan mereka ke Singapura-Ipoh-Singapura.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif yang dilakukan Air Asia dalam membantu meningkatkan lagi sektor pelancongan negeri.

Jelasnya, beliau yakin penerbangan empat kali seminggu Singapura-Ipoh-Singapura itu akan meletakkan Perak sebagai destinasi pelancongan utama daripada Singapura, khususnya menjelang musim cuti akhir tahun ini.

“Pada tahun lalu, Perak mencatatkan kedatangan 7.6 juta pelancong domestik dan 267,245 pelancong antarabangsa.

“Ini jelas membuktikan bahawa terdapat penawaran dan permintaan terhadap sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga menyambut baik langkah Air Asia untuk menambahkan lagi waktu penerbangan Johor Bahru-Ipoh-Johor Bahru daripada empat kali seminggu kepada tujuh kali seminggu menjelang tahun hadapan.

Dalam pada itu Ahmad Faizal berkata, trek Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini juga berkemungkinan akan dipanjangkan kepada 500m yang akan menjadikan ia berjumlah 2.5km pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pelancaran penerbangan sulung Air Asia Singapura-Ipoh-Singapura di LTSAS, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, penerbangan tersebut bakal memudahkan lagi warga Singapura untuk datang ke Perak.

“Sebelum ini, dalam tempoh dua bulan lalu, daripada 10,000 penumpang yang datang dari Johor ke Ipoh, 60 peratus daripada mereka ialah warga Singapura.

“Dengan inisiatif terbaru ini, saya yakin ia akan memudahkan mereka untuk melancong ke Perak,” ujarnya.

Terdahulu, pesawat penumpang Air Asia yang berlepas daripada Lapangan Terbang Changi pada jam 11.40 pagi tadi, tiba di LTSAS, di sini sekitar jam 1 petang, pada hari yang sama.

Ketibaan kesemua penumpang dan anak kapal di sambut Menteri Besar Perak dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Yong Choo Kiong, serta Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");