IPOH: Kerajaan Perak akan membincangkan keperluan cadangan untuk mengehadkan waktu operasi pusat hiburan di negeri itu atau tidak
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata setakat ini tiada keperluan untuk memendekkan waktu operasi pusat hiburan kepada jam 1 pagi terutamanya di Bandaraya Ipoh.
Jelasnya lagi, keadaan pusat-pusat hiburan di negeri itu masih terkawal dan tidak mengganggu ketenteraman awam yang lain.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang keputusan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang akan mempertimbangkan cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memendekkan waktu operasi semua pusat hiburan di ibu negara kepada 1 pagi.
Jelas Ahmad Faizal, perkara tersebut dipersetujui Menteri kerana ia berdasarkan suasana dan keperluan keadaan di ibu negara yang sentiasa dibanjiri kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji cadangan tersebut.
“Kalau kita tutup pusat-pusat hiburan pada pukul 8 malam pun, jika ada segelintir pengunjung yang meminum minuman keras dengan tidak bertanggungjawab, ia tetap akan menganggu ketenteraman awam.
“Setakat ini, di Perak saya akan mendapatkan pandangan dan nasihat lanjut daripada pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan, sebelum kita putuskan sama ada untuk turut sama menyahut cadangan tersebut atau tidak,” katanya.
Beliau ditemui pada Malam Nusantara sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa ke-9 (PULARA) di Pusat Konvensyen Amanjaya Meru Raya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah PULARA, Mohd Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenal sebagai Malim Ghozali Pk.
Pada majlis tersebut, Menteri Besar turut berkesempatan menyempurnakan acara penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan edisi ke-6.
Antara penerimanya ialah Abdullah Hassan bagi Anugerah Ilmuan Perak Darul Ridzuan, Dr Saleh Rahamad (Anugerah Pejuang Sastera Perak Darul Ridzuan, Baharuddin Buyung Kahar (Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat) serta Mohd Akhir Leman (Anugerah Khas).
Dalam pada itu, acara Hadiah Sastera Darul Ridzuan kali ini turut mempertandingkan anugerah bagi kategori pelajar yang difahamkan disertai 100 pelajar.