Perak Hari Ini

Perak Bakal Ada Hospital Dan Pusat Rehabilitasi Untuk Pencarum PERKESO

IPOH: Perak bakal mempunyai sebuah Hospital Dan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang terbesar di rantau Asia Tenggara pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri, A. Sivanesan berkata pusat rehabilitasi tersebut bakal menjadi yang kedua selepas di Ayer Keroh, Melaka.

Jelasnya, sebanyak empat lokasi di seluruh Perak yang telah dikenal pasti PERKESO untuk dijadikan lokasi hospital dan pusat rehabilitasi tersebut.

Namun, beliau tidak menyatakan nama lokasi tersebut secara jelas dan sebaliknya berkata ia akan diputuskan PERKESO dalam satu perjumpaan bersama beliau pada Khamis ini.

Selain itu, ujar Sivanesan, projek tersebut bakal melibatkan tanah seluas 100 ekar dan membabitkan kos anggaran pembinaan minimum RM500 juta, daripada PERKESO.

“Selain ianya akan dikhaskan kepada pencarum PERKESO, hospital dan pusat rehabilitasi tersebut juga akan dibuka kepada umum yang mahu mendapatkan sebarang rawatan.

“Namun sudah tentu, struktur bayarannya akan berbeza. Dan hospital ini juga akan berfungsi seperti hospital biasa yang dilengkapi dengan beberapa perkhidmatan seperti rawatan dialisis dan rawatan untuk penghidap strok,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ujar Sivanesan para pencarum PERKESO bakal menikmati perkhidmatan percuma di pusat rawatan tersebut kecuali untuk beberapa kes khas.

Katanya lagi, inisiatif tersebut dilihat mampu menyelesaikan masalah kesesakan di hospital-hospital kerajaan di negeri ini.

“Jika projek hospital dan pusat rehabilitasi ini berjaya dilaksanakan, ia akan dapat membantu PERKESO mengurangkan pengaliran dana keluar.

“Dengan kewujudan projek ini juga, ia diharap akan mampu memberi perkhidmatan kepada semua pencarum PERKESO yang berada di wilayah utara Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, Sivanesan turut mengumumkan bahawa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sedang berbincang dengan beliau untuk membina pusat perlindungan warga emas di Ipoh dan Taiping.

Jelasnya, pusat tersebut bakal dikhaskan untuk pesara kerajaan yang hidup sebatang kara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");