Berita Hari Ini

Pertikaian Malaysia, Singapura Diselesai Ikut Undang-Undang – PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pertikaian antara Malaysia dan Singapura membabitkan sempadan ruang udara dan maritim akan diselesaikan berlandaskan peruntukan undang-undang dan hak negara.

Perdana Menteri berkata, pertikaian antara negara banyak berlaku kerana ada pihak yang membuat dakwaan mengenai sempadan masing-masing.

“Banyak pihak yang mengumumkan sempadan masing-masing yang mencetuskan pelbagai pertikaian lain.

“Kita akan selesaikan pertikaian ini berdasarkan peruntukan undang-undang dan hak kita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa Malaysia mahu memperluaskan Pelabuhan Johor Bahru, serta sama ada Perdana Menteri bimbang pertikaian terbaru itu bakal mencetuskan ketegangan dalam hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Ditanya mengenai keputusan Singapura menolak cadangan Malaysia supaya kedua-dua negara menghentikan sebarang penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan di Selat Johor, Dr Mahathir berkata lebih penting adalah negara republik itu sedia untuk berbincang.

“Yang penting ialah Singapura bersetuju untuk mengadakan perbincangan. Sehingga perbincangan itu berakhir, kita tidak boleh memberi jawapan akhir (mengenai penyelesaian pertikaian sempadan ruang udara dan maritim,” katanya.

Semalam, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, berkata negara republik itu menolak cadangan Malaysia supaya kedua-dua negara menghentikan sebarang penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan di Selat Johor, yang disuarakan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Rabu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Malaysia menggesa Singapura menarik balik Pekeliling Pelabuhan Marin dikeluarkan republik itu pada 30 November lalu dan menghalang agensi penguatkuasaannya daripada menceroboh wilayah laut Malaysia.

Loke juga dilaporkan berkata, Kementerian Luar akan menghantar nota bantahan kepada kerajaan Singapura susulan penyiaran tatacara ILS Lapangan Terbang Seletar tanpa kebenaran pada 1 Disember lalu, yang akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 3 Januari depan.

Ketetapan kerajaan itu sudah dimaklumkan kepada Singapura pada 28 dan 29 November lalu bagi menjamin kedaulatan ruang udara negara, sekali gus memastikan pembangunan sekitar Pasir Gudang tidak tergugat.

Selasa lalu, Loke dilaporkan berkata kerajaan akan melaksanakan pengambilan balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat mulai penghujung 2019 dan 2023, yang diwakilkan kepada Singapura bagi tujuan penyediaan kawalan trafik udara sejak 1974.

Kenyataan Loke mengundang reaksi balas Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan yang menyifatkan pengurusan ruang udara tiada kaitan dengan kedaulatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");