Panasnya Hari Ini

PH Azam Tawan Sarawak – PM

BINTULU: Selepas berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Pakatan Harapan (PH) kini berazam untuk menawan Sarawak pula pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, sasaran itu ditetapkan bagi memudahkan kerajaan baharu menyelaras pembangunan untuk Sarawak.

Beliau berkata, sebelum ini banyak berlaku ketirisan dan penyelewengan dalam pengurusan peruntukan pembangunan Sarawak yang diagihkan Kerajaan Persekutuan ketika diterajui BN.

“Misalnya, dalam pembekalan tenaga elektrik menggunakan solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak yang tidak sampai kepada sasaran.

“Jika PH dapat menawan Sarawak, kita akan memastikan pemimpin yang rasuah dan menyeleweng akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran BERSATU Sarawak di Dewan Suarah Bintulu, malam tadi lapor Berita Harian.

Lebih 1,000 ahli BERSATU Sarawak menghadiri majlis pelancaran itu yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan merangkap Penyelaras BERSATU Sarawak, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dr Mahathir berkata, tiada alasan untuk PH tidak dapat memajukan Sarawak, walaupun parti itu bertapak di Semenanjung.

Katanya, kehadiran BERSATU di Sarawak adalah atas permintaan dan pelawaan daripada rakyat Sarawak sendiri yang mahukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri memperuntukkan bajet ‘luar biasa’ iaitu RM11 bilion iaitu jauh tinggi daripada bajet negeri Selangor.

“Persoalannya, adakah bajet itu benar-benar diagihkan untuk memajukan rakyat Sarawak?” katanya.

Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Bintulu, petang tadi, Dr Mahathir berkata, BERSATU sedia mendengar suara rakyat negeri ini susulan penubuhan parti itu di Sarawak.

“Saya akan mendengar apa sahaja yang mereka (rakyat Sarawak) mahu katakan,” katanya.

BERSATU katanya, mengamalkan keterbukaan bagi mendapatkan maklum balas dari masyarakat di Bumi Kenyalang.

“I have to find out what is it, than I have been ‘syok sendiri’ (Saya mahu mengenal pasti sesuatu perkara berbanding saya syok sendiri),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");