Sukan Hari Ini

Piala AFF: 825 Pegawai, Anggota PDRM Siap Siaga Di Stadium

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) siap siaga dengan kekuatan 825 pegawai dan anggota untuk berkawal di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi pertemuan final Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dengan Vietnam, Selasa ini.

Kata Ketua Polis Kuala Kumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, ia melibatkan 655 petugas keselamatan dan 170 petugas trafik yang akan mula berkawal pada jam 2.30 petang.

“Pihak kami juga akan melakukan pemeriksaan rapi di pintu masuk untuk memastikan barang-barang terlarang tidak terlepas ke dalam stadium,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mercun suar, bahan letupan, objek tajam, pemetik api, mancis, minuman keras, payung dan tongkat antara barang yang tidak dibenar dibawa masuk sebagai prosedur keselamatan lazim ketika perlawanan besar berlangsung.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa tiada jalan yang akan ditutup atau lencongan dibuat melainkan ada keperluan seperti kehadiran orang ramai secara serentak ke venue.

Sembilan lokasi parkir dengan kapasiti 3,394 lot tersedia di sekitar Bandar Sukan Bukit Jalil, justeru para penonton dinasihat supaya hadir awal dan merancang perjalanan sebaiknya.

“Seeloknya kongsi kenderaan atau naik pengangkutan awam,” katanya lapor Astro Awani.

Pengguna jalan raya lain yang tidak terlibat dengan sebarang urusan di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil juga dinasihat supaya tidak melalui jalan-jalan sekitarnya untuk membantu mengurangkan kesesakan trafik.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua yang akan hadir menonton di stadium supaya sentiasa bersabar dan tidak terheret oleh emosi walau apa pun yang berlaku.

“Kalau menang, ‘celebrate’ biar berpada. Kaau kalah jangan pula cari gaduh dengan penyokong Vietnam,” ujarnya.

Seperti biasa peringatannya agar khalayak dapat memberi kerjasama mematuhi arahan anggota dan pegawai bertugas untuk memastikan keadaan tenang dan selamat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");